X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Tebus barang kitar semula dengan keperluan harian

Antara penduduk yang telah menebus barang kitar semula dengan keperluan asas dalam program 1Komuniti 1Kitar Semula di Segambut, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A

SEGAMBUT - Sebanyak 458.1 kilogram (kg) barang kitar semula berjaya dikutip dalam program 1Komuniti 1Kitar Semula yang diadakan secara pandu lalu di Dewan Kampung Segambut Tengah di sini pada Sabtu.

Program anjuran Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu membolehkan orang awam menebus barangan kitar semula dengan keperluan asas seperti gula dan susu.

Unit Media DBKL menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, bahan kitar semula kertas mencatatkan kutipan tertinggi dengan 244.2kg diikuti plastik (123.8 kg), tin (29.5 kg) dan minyak masak terpakai (60.6 kg).

"Jumlah barang yang ditebus oleh komuniti setempat ialah gula sebanyak 45 peket, susu (56 tin), tepung gandum (31 paket) dan minyak masak (46 pek) dalam program berlangsung selama tiga jam bermula jam 9.30 pagi.

"Program berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan dalam komuniti setempat yang menyahut seruan kerajaan, sekali gus mengurangkan sisa sampah di ibu kota Kuala Lumpur, " menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan sama menyebut, program itu bertujuan menggalakkan amalan kitar semula dan memupuk semangat kerjasama dalam komuniti untuk menjaga kebersihan dan keceriaan persekitaran kawasan perumahan.

"Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan suasana kediaman perumahan yang kondusif ke arah melahirkan penduduk yang mempraktikkan amalan hidup lestari.

"Insentif barangan keperluan makanan bagi program itu juga adalah inisiatif DBKL membantu ekonomi golongan sasar iaitu B40 dalam menempuh kegawatan akibat Covid -19 dengan menukarkan barang kitar semula kepada barang keperluan asas, " katanya.

Katanya, kitar semula penting untuk kelestarian alam sekitar dan usaha meningkatkan kesedaran serta keprihatinan terhadap alam sekitar perlu dipupuk.

Justeru katanya, sokongan dan kerjasama daripada komuniti setempat amat diharapkan bagi menjayakan aktiviti 1Komuniti 1Kitar Semula.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!