25 ekor kambing rentung

Kandang kambing musnah terbakar menyebabkan 25 ekor kambing hangus.
Kandang kambing musnah terbakar menyebabkan 25 ekor kambing hangus.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penternak kambing kerugian RM40,000 apabila 25 ekor kambing ternakannya rentung selepas kandang terbakar dalam kejadian di Permatang Kerai Kecil di sini, malam Sabtu.

Kejadian berlaku pada jam 10 malam itu dipercayai berpunca daripada kesan kebakaran najis kambing yang dilakukan oleh penternak terbabit pada sebelah pagi untuk tujuan pembajaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, temu bual terhadap pemilik kandang kambing berusia 64 tahun itu memaklumkan dia membakar najis kambing dengan menggunakan bahan sabut di bawah kandang kambing.

Kesan kebakaran akibat kejadian pada jam 10 malam Sabtu.
Kesan kebakaran akibat kejadian pada jam 10 malam Sabtu.

Menurutnya, pada sebelah petang dia melihat asap dari tempat gumpalan najis itu tetapi tidak mengesyaki kebakaran berlaku.

"Kira-kira jam 10 malam penternak kambing berkenaan nampak api dari kandang kambing tempat pembakaran tersebut dan tidak sempat menyelamatkan ternakan kerana api cepat marak.

"Mangsa memberitahu mungkin jumlah gumpalan najis kambing terlalu banyak yang berada di bawah kandang menyebabkan bara dari sekam najis itu menyambar kandang dengan cepat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Akibat kejadian itu, tujuh ekor kambing jantan dan 18 ekor betina miliknya hangus.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, penternak terbabit tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat berlaku sebaliknya lebih yakin berpunca dari kesan kebakaran najis kambing tersebut.

Katanya, atas alasan itu penternak itu yang telah memelihara kambing sejak enam tahun lalu enggan membuat laporan polis.