'AMK keliru antara setiakawan, khianat'

Zamir Ghazali
Zamir Ghazali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menganggap tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima kemasukan tiga wakil rakyat Amanah ke parti itu sebagai bukti hilang semangat setiakawan.

Ketuanya, Zamir Ghazali berkata, pihaknya kesal apabila semangat setiakawan iaitu nilai yang sepatutnya dihormati dalam Pakatan Harapan (PH) sudah tidak diraikan oleh PKR.

Menurutnya, tindakan PKR menerima kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah juga tidak menghormati etika 'gentlemen policies' yang sepatutnya menjadi nilai dalam menjaga semangat setiakawan.

“Ini jauh berbeza dengan Amanah yang ditohmah sebagai tidak setia menjaga etika dan setiakawan, kami diberi pekeliling dalaman tidak rasmi untuk menolak ahli atau pimpinan PKR yang mahu menyertai Amanah.

“Langkah menerima rakan ADUN Amanah bukan gerakan memperkuatkan PH sebaliknya lebih kepada melukakan kawan dan cubaan membalas dendam terhadap Amanah yang sentiasa menyeru kepada perpaduan dan kerjasama antara parti pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahmad Syukri Che Ab Razab menyarankan supaya Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bermuhasabah diri dan menjauhi sikap politik bermuka-muka seperti parti lamanya iaitu Pas.

Kenyataan itu susulan teguran Salahuddin yang mengatakan tidak manis untuk PKR menerima tiga bekas ADUN Amanah berdasarkan semangat setiakawan dalam PH.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kurang manis terima ahli daripada parti rakan’

Artikel Berkaitan:

ADUN Senggarang dari Amanah sah sertai PKR

Media semalam melaporkan tiga ADUN Amanah di Johor iaitu Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhammad Said Jonit (Mahkota) disahkan menyertai PKR.

Zamir turut menyelar Ahmad Syukri yang cuba menggambarkan penyertaan tiga ADUN itu disebabkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan alasan sebenar adalah wujud masalah antara mereka dengan kepimpinan kawasan dan negeri.

“Gambaran yang cuba dibawa oleh Setiausaha AMK Malaysia adalah cukup jijik dan jauh dari fakta sebenar. Tidak usah berselindung di sebalik topeng hujah pro Tun, pro Anwar.

“Amanah rakan yang awal dan kekal menyatakan sokongan Anwar adalah calon Perdana Menteri. Ada SD dari ahli Parlimen pimpinan Amanah kepada Ketua Umum anda tanda solidariti.

“Kalau AMK tidak mahu kumpulan Tun, desak saja presiden parti anda, Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH segera keluarkan ketetapan yang jelas iaitu PH menolak sepenuhnya kerjasama dengan Pejuang.

“Saya yakin jika pengerusi PH mengeluarkan arahan tersebut, komponen PH akan turut serta,” katanya.