‘Apalah nasib anak-anak’

Suzani bersama lima anak dan ibunya di hadapan rumah mereka.
A
A

GUA MUSANG- Seorang ibu tunggal di sini, buntu memikirkan nasib lima anaknya yang membesar dalam serba kedaifan.

Hanya bergantung kepada kediaman ihsan peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, enam beranak itu tiada tempat bergantung.

Lebih memeritkan, rumah didiami tiada sebarang kelengkapan malah terletak di dalam kebun kelapa sawit dan bocor sana sini.

Suzani Ali, 37, berkata, pada awalnya dia mengikuti suami ke daerah ini tiga tahun lalu, namun suaminya meninggal dunia menyebabkan dia dan lima anaknya merempat.

Menurutnya, dia hanya mengambil upah menebas tanah hutan dengan pendapatan RM35 sehari untuk menyara keluarga.

“Selain anak, ibu saya juga tinggal bersama saya kerana bapa sudah tiada. Nasib baik peneroka di sini bagi kami tempat tinggal.

“Anak saya, tiga masih bersekolah iaitu Mohd Riduan Sazali, 14, Mohd Amin Shukri, 11, dan Nur Kamilia Darahana, 7 tahun. Dua lagi, Mohd Abdul Rahman Solihi, 5, dan Nurul Fitriah Raudhah, 7 bulan. Apabila saya bekerja, saya tinggalkan anak-anak dengan ibu,” katanya.

Suzani yang berasal dari Terengganu berkata, kesempitan hidup memaksa dirinya membanting tulang empat kerat demi keluarga tanpa memikirkan keperluan diri.

“Memang saya susah. Saya bekerja untuk memastikan anak-anak ke sekolah. Selagi ada upaya, saya bekerja.

“Cuma kalau boleh, saya mahu kediaman lain yang lebih selesa. Itu saya tidak mampu, setakat keperluan makan sekadar ada kami anak beranak, bolehlah,” katanya.

Suzani hanya mengambil upah menebas tanah hutan dengan pendapatan RM35 sehari.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia