Tiga Tan Sri, Datuk dalang kartel dadah dalam radar Bukit Aman

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk disyaki dalang utama kartel dadah di negara ini yang berselindung di sebalik perniagaan seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, aktiviti perniagaan yang dimiliki individu berusia 45 tahun dan ke atas itu sebenarnya hanya alasan untuk mengaburi kegiatan utama iaitu pengedaran kokain ke luar negara.

"Mereka juga tidak menggunakan langsung khidmat kakitangan yang terbabit dalam perniagaan yang sah untuk kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah bagi mengelak kebocoran maklumat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Razarudin berkata, kesemua individu itu mempunyai kakitangan lain untuk menyeludup dadah melalui perairan negara, penyimpanan sehingga proses pengedaran ke luar negara.

"Pada masa ini, kita sedang mengumpul maklumat dan bukti kukuh daripada ahli sindiket pengedaran dadah tempatan yang sudah diberkas sebelum melakukan tindakan ke atas Tan Sri dan Datuk terbabit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menahan beberapa 'anak buah' kepada dalang itu melalui kejayaan operasi sebelum ini yang membabitkan peringkat Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.

"Kita mahu mengumpulkan bukti kukuh sebelum tangkapan dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga dalang utama yang dikesan aktif di Semenanjung Malaysia ini menerima hukuman sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Razarudin memberitahu, risikan awal mendapati orang-orang bawahan atau suruhan kepada tiga individu itu akan menguruskan penghantaran dadah ke Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Australia menggunakan kargo udara dan khidmat perkapalan.

Artikel Berkaitan:

"Kes rampasan 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang disembunyikan dalam arang batu serta menjadi sejarah rampasan terbesar dadah dalam negara di Terminal Kargo Utara Butterworth, Pulau Pinang, pada 10 September 2019 dipercayai turut mempunyai kaitan dengan Tan Sri dan Datuk terbabit," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status Tan Sri dan Datuk.

Abdul Hamid berkata, beliau akan memastikan individu berstatus Tan Sri dan Datuk itu dipenjarakan atau dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) sebaik pembabitan mereka dapat dibuktikan oleh JSJN.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket edar dadah berselindung sebalik gelaran Tan Sri, Datuk