Bekas Menteri Pendidikan gesa kaji semula buku teks Sejarah

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KOTA BHARU - Buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan Empat yang kontroversi kononnya mengagung-agungkan komunis perlu kajian semula.

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, fakta yang disebutkan berkaitan komunis dalam buku berkenaan digambarkan hanya pada tahap sederhana tanpa disebut kekejaman rejim itu.

Katanya, buku itu hanya menceritakan parti terbabit menentang penjajah Jepun tanpa menceritakan elemen kekejaman mereka.

“Tidak dinyatakan dalam buku itu, tentera dan polis yang terkorban disebabkan oleh komunis sehingga ada yang mati berjuang menentang parti itu.

“Selain itu, perkataan penubuhan perikatan, MCA ada, tapi saya tidak nampak dalam buku Tingkatan Empat itu UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan.

“Jadi, harus lihat dan kena kaji semula,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Program Ceria ke Sekolah Sesi 2021 kepada pemimpin masyarakat di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengurus Besar Negeri (Kelantan & Terengganu) Bahagian Strategi dan Kawal Selia TNB, Mustaphakamal Yaacob.

Mahdzir yang juga Pengerusi (TNB) itu memberitahu, kelulusan buku oleh jawatankuasa itu diperakui pada 28 April 2018 namun tarikh tersebut merupakan minggu terakhir kempen PRU 2018 manakala 8 Mei pula hari mengundi.

Artikel Berkaitan:

“Kalau 24 April 2018, maknanya kelulusan itu dibuat dalam masa kempen pilihan raya.

“Ketika itu sudah tidak ada menteri, saya pun sudah tidak masuk pejabat, ada menteri pun jadi caretaker (kerajaan sementara) sahaja. Jadi, saya pun tak tahu macam mana diambil kira tarikh 24 April 2018,” katanya.

Pada Khamis lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan Empat mematuhi semua proses penerbitan bagi merangkumi ketepatan fakta melalui proses kawalan mutu yang ketat.

Kenyataan susulan desakan beberapa pihak supaya buku tersebut diharamkan kerana didakwa memanipulasikan fakta selain diisi dengan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan.