Negara akan dapat bekalan vaksin Johnson & Johnson

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar - Foto Bernama
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan bahawa negara akan dapat menggunakan vaksin keluaran syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Johnson & Johnson.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKAV) berkata, syarikat pengeluar vaksin itu hanya mampu memberikan bekalan vaksinnya dalam jumlah yang sedikit.

Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana beliau difahamkan bahawa sebahagian besar daripada bekalan vaksin tersebut sudah pun ditempah oleh negara maju lain.

“'Game changer'. Satu dos sahaja. Malaysia juga akan dapat setelah berunding sejak tahun lepas. Cuma pihak JnJ (Johnson & Johnson) hanya dapat memberi jumlah yang sedikit sebab negara maju bolot bekalan seperti vaksin lain.

“Banyak negara maju tamak walaupun bekalan sudah banyak,” katanya ketika mengulas mengenai status vaksin tersebut yang telah dibenarkan penggunaannya oleh kerajaan AS menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad.

Pada Sabtu, media melaporkan bahawa Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS telah membenarkan pengunaan vaksin Johnson & Johnson.

Pada 24 Februari lalu, Khairy Jamaluddin berkata, vaksin keluaran Johnson & Johnson masih dalam peringkat penilaian dan akan memuktamadkan kertas terma vaksin berkenaan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, makluman klinikal mengenai vaksin itu amat positif dan berdasarkan syor JKJAV, jemaah menteri membuat keputusan untuk membeli vaksin tersebut.

Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin Covid-19.

Ia termasuk vaksin dua dos merangkumi vaksin dari syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) serta CanSinoBIO, dan vaksin satu dos daripada Sputnik V.