Afandi sah bertanding Naib Presiden FAM

 Afandi Hamzah
Afandi Hamzah
A
A
A

BEKAS Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden FAM sempena pemilihan Jawatankuasa Eksekutif pada Kongres FAM kali ke-57, 13 Mac depan.

Menurut Afandi, dia menyatakan kesediaan untuk kembali bertanding atas minatnya yang mendalam terhadap sukan bola sepak selain mahu terus berkhidmat dalam kancah bola sepak negara.

“Saya mendapat makluman mengenai pencalonan saya sebagai naib presiden dan saya nyatakan kesediaan saya untuk bertanding kali ini.

“Secara keseluruhannya, bola sepak ini adalah minat saya, jadi saya membuat keputusan untuk bersetuju bertanding pada kongres FAM kali ini.

“Terima kasih kepada ahli-ahli gabungan yang telah mencalonkan saya dan bagi saya, pemilihan ini adalah proses demokrasi yang diadakan setiap kali FAM mahu mengadakan pemilihan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pencalonan Afandi turut menyaksikan bekas Timbalan Presiden FAM itu berpeluang untuk kembali berkhidmat di badan induk bola sepak negara setelah gagal mempertahankan jawatannya pada Kongres FAM kali ke-53, 2017 lalu.

Sempena kongres berkenaan, Datuk Hamidin Mohd Amin dijangka mengekalkan jawatannya selaku Presiden FAM selain diramalkan menang tanpa bertanding apabila muncul selaku calon tunggal bagi jawatan presiden setakat ini.

Perkara sama juga dilihat berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden FAM, apabila hanya Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan pengurus skuad bawah 16 tahun (B-16) kebangsaan, Datuk S Sivasundram yang bertanding bagi merebut dua kerusi yang ditawarkan setelah Datuk Seri Subahan Kamal sah tidak mempertahankan jawatannya kali ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Afandi enggan mengulas lanjut mengenai perancangannya apabila berjaya dalam pencalonan selaku Naib Presiden FAM kelak.

Katanya, dia mahu membiarkan proses pemilihan berkenaan berjalan dahulu dan seterusnya mengesahkan pihak yang dipilih selaku Naib Presiden FAM.

“Bagi saya, masih terlalu awal untuk dimaklumkan mengenai perancangan saya, seelok-eloknya biarlah proses pemilihan itu perlu berlaku dahulu.

“Sekiranya saya ditakdirkan dapat mengisi salah satu kerusi naib presiden itu, barulah kita akan maklumkan.

“Lagipun, sudah tentulah kita mahu bersama-sama menjayakan agenda serta program-program yang telah direncanakan oleh FAM,” katanya.