Pensyarah rugi lebih RM10,000 angkara Parcel Scam

Seorang pensyarah menanggung kerugian RM10,540 selepas diperdaya sindiket Parcel Scam. - Foto 123RF (Gambar kecil: Mohd Wazir)
Seorang pensyarah menanggung kerugian RM10,540 selepas diperdaya sindiket Parcel Scam. - Foto 123RF (Gambar kecil: Mohd Wazir)
A
A
A

KUANTAN - Keterujaan untuk menerima bungkusan hadiah daripada kenalannya dari Los Angeles menyebabkan seorang pensyarah menanggung kerugian RM10,540 selepas diperdaya sindiket Parcel Scam, pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 37 tahun itu mendakwa mengenali lelaki yang dikenali dengan nama Hakim Yusof pada awal Januari lalu.

Menurutnya, suspek kemudian telah menghantar satu pesanan menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan satu bungkusan hadiah akan dikirimkan kepada mangsa.

"Tidak lama selepas itu, mangsa telah menerima satu pesanan daripada individu tidak dikenali supaya membuat bayaran cukai kastam, peguam dan bayaran penerimaan barang sebanyak RM10,540.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa telah membuat pemindahan wang secara talian sebanyak empat transaksi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis selepas merasakan dirinya tertipu kerana bungkusan hadiah itu sehingga kini belum diterimanya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, modus operandi yang digunakan suspek untuk memperdaya mangsa melalui penghantaran bungkusan yang tidak wujud dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: