X

Kindly register in order to view this article
!

Pas yakin undang-undang sivil, syariah dapat diharmonikan

Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Pas yakin bahawa kewujudan undang-undang sivil yang berteraskan kepada undang-undang lazim ataupun ‘common law’ dalam negara akan dapat diharmonikan bersama-sama dengan undang-undang syariah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, partinya komited untuk melakukan usaha sedemikian berdasarkan kepada kesedaran bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mana majoriti daripada penduduknya adalah beragama Islam.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, partinya yakin bahawa keberhasilan usaha tersebut akan memberikan sebuah wajah baharu dan dinamik terhadap sistem perundangan negara.

“Pas yakin berteraskan pengiktirafan undang-undang syariah termasuk oleh Mahkamah British di negara ini di zaman pramerdeka, prinsip undang-undang tersebut mampu mewujudkan suatu wajah baru dan dinamik kepada sistem perundangan negara.

“Ini dapat dilihat dalam keputusan kes Ramah binti Ta’at vs Laton binti Malim Sutan yang diputuskan pada tahun 1927 yang mengatakan ‘the Mohammedan law is not a foreign but local law, that it is the law of the land’.

“Begitu juga dalam kes Fatimah binti Harrris vs Ismail Haji Tahir yang diputuskan dalam tahun 1939, Mahkamah British pada masa itu mengatakan ‘that Mohammedan law is a part of the law of Johore’,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Khamis, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata, hanya Parlimen ada bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Hasil daripada keputusan tersebut, pelbagai pihak tampil menyatakan pandangan serta kerisauan berhubung kepada keperluan untuk menetapkan kedudukan undang-undang syariah di dalam sistem perundangan negara.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, Pas meminta semua pihak supaya menghormati dan tidak cuba mengambil sudut pendekatan yang tidak wajar dengan mencabar aspek perundangan sedia ada yang dibuat oleh badan perundangan negeri demi kebaikan kehidupan sosial, keharmonian agama dan budaya serta perpaduan negara.

Katanya, Pas bimbang bahawa sesuatu keputusan yang terpaksa dibuat oleh badan kehakiman atas desakan yang tidak wajar akan membawa kepada implikasi yang tidak bermanfaat kepada negara dan rakyat jelata.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!