X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Perjelas kuasa legislatif Persekutuan, negeri

A
A

KHAMIS lalu, negara dikejutkan dengan penghakiman sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor)1995 adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Seksyen 28 adalah mengenai kesalahan persetubuhan luar tabii yang selama ini dibicarakan di Mahkamah Syariah Selangor membawa hukuman tidak melebihi RM5,000 denda atau pemenjaraan tidak melebihi tiga tahun atau sebatan syariah tidak melebihi enam kali atau mana-mana kombinasinya.

Penghakiman itu bukan sahaja memberi kesan kepada Seksyen 28 di Selangor tetapi juga negeri-negeri lain yang mempunyai peruntukan kesalahan yang sama.

Masyarakat Islam arus perdana rata-ratanya melihat penghakiman itu sebagai menghakis kuasa Mahkamah Syariah dalam mengadili perbicaraan kes berkaitan persetubuhan luar tabii. Penghakiman yang diputuskan itu mengehadkan apa yang diistilahkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘kesalahan-kesalahan melanggar perintah agama Islam dalam kalangan penganut Islam’ dengan limitasi mestilah kesalahan yang tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Dalam erti kata lain, apa-apa yang menjadi ‘kesalahan jenayah’ tidaklah termasuk dalam kategori ‘kesalahan-kesalahan melanggar perintah agama Islam dalam kalangan penganut Islam’ dan sekiranya Dewan Undangan Negeri mengadakan kesalahan tersebut, ia adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Sejarah

Dengan hormat kepada pengakiman tersebut, saya mendapati penghakiman itu tidak mengambil kira faktor sejarah di mana ia menyatakan Kanun Keseksaan wujud terlebih dahulu daripada kesalahan liwat diperundangkan.

Berdasarkan sejarah, Kanun Kesiksaan yang diambil dari Kanun Kesiksaan India digubal di dalam Negeri-Negeri Bersekutu Melayu (Federated Malay States) pada 1936. Namun begitu Kanun Kesiksaan melalui Akta 574 ini hanya menjadikan kesalahan liwat pada tahun 1989 sedangkan undang-undang Islam telah terlebih dahulu wujud di Malaysia sejak sebelum penjajahan. Ini terbukti dengan penemuan Batu Bersurat Trengganu, Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang Johor dan banyak lagi.

Oleh itu mengatakan Kanun Kesiksaan wujud lebih awal adalah tersasar dari fakta sejarah. Cuma apa yang berlaku ialah undang-undang Islam tersebut tidak dikodifikasi sebagaimana undang-undang kini.Namun ia mempunyai keabsahan dan kuatkuasa yang sama seperti hari ini pada masa tersebut.

Isu diskriminasi terhadap non-Muslim juga dibangkitkan oleh Mahkamah di dalam penghakiman tersebut. Hal ini adalah disebabkan Hakim berpandangan sekiranya terdapat orang Islam dan bukan Islam yang ditangkap melakukan kesalahan persetubuhan di luar tabie ini yang beragama Islam akan dihadapkan di mahkamah syariah dimana hukuman maksimum adalah tiga tahun penjara atau lima ribu ringgit denda atau sebatan syariah sebanyak enam kali. Manakala yang bukan Islam pula akan dihadapkan di mahkamah sivil pertuduhan dibawah seksyen 337A yang membawa hukuman maksimum dua puluh tahun penjara dan sebatan.

Secara praktikalnya perkara ini tidak akan berlaku kerana sekiranya penguatkuasa agama yang menjalankan siasatan mereka akan hanya mendakwa yang beragama Islam sahaja dan yang tidak beragama Islam tidak akan dituduh. Manakala sekiranya pihak polis yang membuat siasatan kesemua yang Islam dan bukan Islam akan dituduh jika kesalahan berlaku. Tidak timbul sebarang diskriminasi terhadap bukan Islam.

Diskriminasi mungkin berlaku kepada orang Islam, walau bagaimanapun ia dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan banyak keputusan kes-kes yang menyatakan sedemikian sebelum ini termasuk juga kes yang dilaporkan ini.

Hari ini penghakiman inimemadamkan kuasa Dewan Undangan Negeri menggubal kesalahan liwat kerana diputuskan berada di dalam kuasa Parlimen. Esok lusa ruang lain akan juga terbuka untuk dicabar seperti kesalahan jenayah syariah yang lain antaranya berjudi, minum arak, berpakaian tidak sopan, sumbang mahram dan banyak lagi. Akhirnya Dewan Undangan Negeri mungkin akan langsai dengan kuasa menggubal kesalahan melanggar perintah agama Islam dan mahkamah syariah akan hanya mengadili perbicaraan kes-kes kekeluargaan sahaja.

Hatta dalam kes-kes kekeluargaan pun bidangkuasa mahkamah syariah juga dipertikai dari masa ke semasa. Adakah ini bermakna masa depan mahkamah syariah akan menjadi kelam?

Persoalan juga ditimbulkan biarkanlah mereka ini dituduh di mahkamah sivil kerana hukumannya jauh lebih berat dari hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah. Saya tidak bersetuju dengan pendekatan ini kerana falsafah hukuman dalam Islam bukanlah untuk menzalimi atau mencederakan seperti sebatan yang akan mencederakan pesalah. Prinsip hukuman dalam Islam adalah mendidik. Saya juga tidak bersetuju pesalah begitu disebat sebegitu berbanding sebatan syariah yang jauh lebih ringan.

Apapun penghakiman mahkamah persekutuan tersebut perlu dihormati oleh semua orang kerana ia adalah perintah mahkamah yang sah. Namun kita tidak boleh duduk diam sahaja. Usaha perlu digarap bagi mendesak kerajaan meminda undang-undang berkaitan bagi memperjelaskan kuasa legislatif ini.

* Rencana ini ditulis oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!