Sifat materialistik antara punca terima rasuah

Gambar kecil: Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Yusof
A
A
A

SEREMBAN - Sifat materialistik dilihat menjadi antara faktor utama amalan rasuah berlaku dalam masyarakat ketika ini.

Ketua Biro Pendidikan Pertubuhan Ikon Malaysia, Mohd Yusof Shafie berkata, amalan terlalu mengutamakan sifat materialistik dalam kehidupan seharian menjadikan seseorang itu ‘gelap mata’.

Katanya, seseorang yang mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah walaupun di luar kemampuan selalunya terdedah dengan amalan menerima rasuah.

“Mereka yang seperti ini selalunya sanggup melakukan apa sahaja asalkan dipandang tinggi oleh masyarakat sehingga sanggup menerima rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selain itu, tidak berpegang kuat pada ajaran agama juga boleh menyebabkan seseorang terpesong sekali gus melakukan perbuatan keji tersebut.

“Bagi pendapat saya, sama ada kerajaan atau badan NGO, mereka harus memainkan peranan dalam sama-sama membanteras gejala rasuah ini.

“Alangkah baiknya jika mata pelajaran jauhi rasuah itu dapat diperkenalkan kepada anak-anak seawal di sekolah rendah. Ini sekali gus dapat memupuk semangat bencikan rasuah dalam kalangan anak muda,” katanya.

Beliau berkata, memperkenalkan subjek (subtopik) rasuah dalam pendidikan di sekolah itu tidak mustahil dan boleh dilakukan, jika ada kesungguhan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara utama yang perlu diberi penekanan adalah hukuman kepada pemberi dan penerima rasuah.

“Kedua-dua pesalah ini perlu dihukum dengan seberat-beratnya bagi memberi tauladan kepada yang lain.

“Jika hukuman sedia ada sekarang ini dianggap tidak berat, kerajaan perlu menggubal undang-undang baharu dengan hukuman yang setimpal, sebagai amaran kepada yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, usaha Sinar Harian melancarkan kempen perangi rasuah perlu disokong bagi membantu memulihkan masyarakat negara ini agar bebas daripada amalan rasuah.