Segera laksanakan pasport vaksin

Dengan adanya pasport vaksin, ia memberikan kepada dua kelebihan iaitu pertama, individu yang terima vaksin tidak perlu kuarantin dan dapat ke luar negara. - Foto 123RF
Dengan adanya pasport vaksin, ia memberikan kepada dua kelebihan iaitu pertama, individu yang terima vaksin tidak perlu kuarantin dan dapat ke luar negara. - Foto 123RF
A
A
A

SEJAK vaksin Covid-19 mula disuntik pada 8 Disember tahun lalu, sehingga hari ini sudah terdapat lebih daripada 50 buah negara di seluruh dunia menerima manfaat dalam usaha memerangi pandemik berkenaan.

Negara kita turut tidak terkecuali apabila mula menerima vaksin pada 21 Februari lalu. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi rakyat Malaysia pertama menerima suntikan sekali gus menandakan negara kita mula memasuki era penyuntikan vaksin sebaris negara-negara lain.

Menurut Lidah Pengarang Sin Chew Daily, walaupun Malaysia bukan antara negara yang terawal menerima vaksin, tetapi sekurang-kurangnya tidak terlalu terlambat.

“Selepas hampir setahun dilanda pandemik ini, rakyat jelata telah mula menunjukkan kesedaran akan bahayanya virus ini.

“Selagi rantaiannya tidak dihapuskan, selagi itulah negara akan terus dihantui kebimbangan dan kesihatan rakyat terancam,” tulis akhbar Cina itu.

Menurut akhbar tersebut, banyak negara telah melaksanakan program suntikan vaksin kepada rakyatnya. Malahan, negara-negara seperti Israel dan di beberapa buah negara di Eropah telah menyempurnakan program suntikan vaksin kepada setiap rakyatnya.

“Menurut senarai Bank Dunia, hampir 50 buah negara di dunia yang dikategorikan sebagai ‘negara berpendapa-tan rendah’ kemungkinan tidak berpeluang menerima vaksin Covid-19 ini.

“Bagi menjamin kesamarataan, kita harap di bawah program Covac yang dipimpin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak ada sebuah negara pun yang tersisih untuk menerima vaksin ini,” kata akhbar Cina itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Bagi menggalakkan orang ramai menerima suntikan vaksin, kerajaan Malaysia telah merancang untuk mengeluarkan pasport vaksin yang membolehkan si penerima vaksin merentas ke luar negara dan tanpa kuarantin selama 10 hingga 14 hari.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, kerajaan berhasrat mengeluarkan pasport vaksin itu sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang sudah menerima suntikan vaksin.

‘Terdapat dua kaedah iaitu yang pertama, melalui MySejahtera. Kita boleh pamer dalam MySejahtera dan yang kedua, kita boleh buat fizikal (bentuk pasport yang boleh diterima negara lain),” kata Menteri Kesihatan itu.

Menurut beliau, kerajaan Singapura telah menghubungi kerajaan Malaysia bagi berbincang untuk melaksanakan program pasport vaksin tersebut.

Bagaimanapun, perkara itu masih diperhalusi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Awal bulan lalu, Arab Saudi adalah antara negara terawal melaksanakan program tersebut bagi memudahkan pihak berkuasa memantau mereka yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Begitu juga negara-negara di rantau Eropah dengan kebanyakannya telah pun melaksanakan program pasport vaksin.

Sin Chew Daily berpendapat, dengan adanya pasport vaksin itu, ia memberikan kepada dua kelebihan iaitu pertama, individu yang terima vaksin tidak perlu kuarantin dan dapat ke luar negara.

Kedua, memberi dorongan kepada semua orang untuk menerima suntikan vaksin tanpa was-was.

“Pasport vaksin ini perlu dilaksanakan di seluruh negara kerana ia adalah antara kunci utama untuk merancakkan kembali kegiatan ekonomi lebih-lebih lagi sektor pelancongan.

“Oleh itu, adalah lebih baik program pasport vaksin dilaksanakan dengan kadar segera kerana ia sememangnya membawa manfaat kepada semua pihak,” jelas akhbar berkenaan.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian