Tragedi skandal 1MDB belum selesai

A
A
A

BUKTI sahih dan nyata mengenai jenayah raksasa yang melibatkan berbilion ringgit duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus didedahkan. Yang terbaharu, persetujuan AMMB Holdings Berhad membayar ganti rugi RM2.83 bilion kepada kerajaan kerana pembabitannya dalam skandal itu.

AMMB Holdings Group Berhad merupakan syarikat induk kepada AmBank Group. AmBank Group adalah antara berpuluh-puluh institusi kewangan dan individu yang terlibat dalam rantaian penyaluran dan pengubahan wang haram 1MDB.

Di Malaysia, AMMB Holdings adalah satu-satunya institusi kewangan yang terlibat secara langsung dengan penyaluran duit curi 1MDB apabila RM2.973 bilion masuk akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank antara tahun 2011 dan 2013.

Najib yang merupakan 'pegawai nombor satu 1MDB' telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 72 tahun serta denda RM210 juta pada 28 Julai lalu atas tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd.

SRC International asalnya adalah anak syarikat 1MDB dan telah berhutang RM4 bilion daripada tabung pencen kakitangan awam iaitu Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). Apabila sampai masa membayar balik semua hutang itu, beban yang akan ditanggung rakyat dan pembayar cukai adalah RM9.2 bilion.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan pada 26 Februari, penyelesaian melalui rundingan dengan AMMB Holdings Berhad itu adalah sebahagian daripada penyelesaian global ke atas tuntutan membabitkan 1MDB. Kes-kes mahkamah dan usaha mendapatkan semula duit 1MDB yang dicuri itu dimulakan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pendirian kerajaan PN tidak campur tangan dalam urusan kehakiman bersabit kes-kes melibatkan pemimpin UMNO amat melegakan.

Ada baiknya menyelesaikan tuntutan ke atas duit curi 1MDB di luar mahkamah daripada melalui proses perbicaraan. Seperti terbukti dengan rasuah yang melibatkan Najib dan bekas-bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain, proses mahkamah mengambil masa panjang.

Kewibawaan

Artikel Berkaitan:

Proses rundingan lebih mudah dan cepat bagi semua pihak berbanding perbicaraan di mahkamah. Lagi pun, bagi institusi kewangan, kewibawaan mereka akan terjejas dengan lebih teruk jika dibicarakan di mahkamah dan melibatkan belanja yang banyak.

Atas sebab sama juga, bank pelaburan antarabangsa Amerika, Goldman Sachs pada Julai lalu bersetuju memulangkan AS$3.9 bilion (kira-kira RM15.8 bilion) duit curi 1MDB.

Goldman Sachs digunakan oleh Najib dan rakan kongsinya, Jho Low untuk mengatur pinjaman berbilion ringgit daripada pasaran modal antarabangsa dengan dijamin oleh kerajaan Malaysia.

Yang menjadi persoalan, bagaimana AMMB Holdings terjerumus dalam jenayah kewangan antarabangsa ini? Adakah kerana mengejar keuntungan semata-mata atau kerana pelanggan yang terlibat itu ialah Perdana Menteri?

Atas kesilapan mengabaikan standard dan piawaian perbankan yang ketat, AMMB Holdings kini membayar harga amat tinggi.

Anehnya, Bank Negara Malaysia tidak pula memberi amaran kepada AMMB Holdings ketika begitu banyak wang dari luar negara mengalir masuk ke dalam akaun Najib di bank tersebut. Namun, apabila skandal itu meletus, Bank Negara tiba-tiba mendenda AMMB Holdings RM53 juta, kononnya kerana tidak mematuhi peraturan.

Bagi yang tahu, AMMB Holdings adalah satu-satunya kumpulan perbankan di Malaysia yang melibatkan pemilikan oleh seorang individu bumiputera iaitu Tan Sri Azman Hashim.

Tidak dapat tidak, peristiwa ini menjejaskan imej dan kemampuan beliau untuk terus memimpin kumpulan perbankan itu sekali pun kedudukan kewangannya terjamin.

AMMB Holdings adalah syarikat umum yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan beroperasi menggunakan jenama AmBank. Ia berupa kumpulan perbankan keenam terbesar di Malaysia dengan aset RM163 bilion setakat 30 September lalu dan modal pasaran RM9.52 bilion pada 26 Februari.

Walaupun kejayaan memperoleh semula duit curi 1MDB menggembirakan kita tetapi tragedi 1MDB jauh daripada berakhir. Negara dan rakyat masih menanggung beban hutangnya sebanyak RM32.3 bilion sehingga September lalu. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara