Setahun terkandas di Indonesia, Ahmad Radi dibawa pulang esok

Ahmad Radi dijadualkan tiba di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru pada jam 12 tengah hari Ahad.
Ahmad Radi dijadualkan tiba di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru pada jam 12 tengah hari Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak dari Kampung Pasir di sini yang terkandas di Tanjung Balai, Karimun, Indonesia sejak setahun lalu akibat pandemik Covid-19 akan dibawa pulang ke negara ini pada Ahad.

Proses membawa pulang Ahmad Radi Djonnaidi, 12, diusahakan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Johor dan Alumni 4B Negeri Johor dengan kerjasama pihak Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Indonesia.

Pengerusi DMDI Johor, Datuk Abdlah@Abdullah Awang yang juga Pengerusi Alumni 4B Negeri Johor berkata, kanak-kanak itu akan tiba di Terminal Feri Stulang Laut di sini pada jam 12 tengah hari Ahad.

"Ahmad Radi akan tiba bersama-sama tiga lagi rakyat Malaysia yang turut terkandas di republik itu iaitu tiga orang dari Melaka yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Bengkalis, Indonesia.

"Kami bantu pembiayaan pulang Ahmad Radi dengan kerjasama Konsulat Malaysia di Pekan Baru. Sebelum ini Ahmad Radi dihantar keluarganya di sini untuk menyekolahkan anaknya di sebuah sekolah pondok pesantren di sana.

"Bapanya, Djonnaidi Tamam merupakan warga tempatan, manakala ibunya, Ratna Dewi berasal dari Tanjung Balai. Mereka mempunyai dua anak dan Ahmad Radi adalah anak sulung," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Abdlah berkata, semasa mendaftarkan Ahmad Radi di sekolah pondok itu pada 20 Februari 2020 sebelum Covid-19 melanda, urusan perpindahan itu mengambil masa lama dan ibu bapanya terpaksa pulang dahulu ke Johor Bahru.

Tidak berapa lama selepas itu, katanya, Covid-19 melanda menyebabkan sempadan negara ditutup, sekali gus menyebabkan Ahmad Radi terkandas di Tanjung Balai sehingga ke hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Djonnaidi berusaha membawa pulang Ahmad Radi tetapi tidak berjaya termasuk kekangan kewangan kerana bekerja sebagai penjaga stor di sebuah kedai di Batu 5, Tampoi dengan gaji RM50 sehari.

"Selepas setahun, kini usaha membawanya pulang berhasil. Ahmad Radi akan pulang bersama-sama tiga orang dari Melaka yang turut terkandas di negara itu, dua daripadanya nelayan dari Pantai Kundor, Tanjung Kling yang hanyut hingga ke Pulau Rupat dekat Bengkalis minggu lalu.

"Dua nelayan itu adalah Md Roslan Kadir, 43, dan Faizal Jailani, 38, yang ditemui hanyut di Pantai Lecah, Pulau Rupat pada 18 Februari lalu selepas perahu mereka karam," katanya.

Tambah beliau, seorang lagi yang akan dibawa pulang ialah remaja lelaki berusia 21 tahun dari Batu Berendam yang ditahan di Depoh Imigrasi di Bengkalis sejak hujung tahun lalu.