Maut selepas lihat abang kemalangan

Jamilah menunjukkan gambar arwah suaminya yang terlibat kemalangan pada Jumaat. Turut kelihatan anak tunggal Hafidzan, Muhammad Aiman Ariff. Kereta yang dipandu Hafidzan remuk akibat hilang kawalan.
Jamilah menunjukkan gambar arwah suaminya yang terlibat kemalangan pada Jumaat. Turut kelihatan anak tunggal Hafidzan, Muhammad Aiman Ariff. Kereta yang dipandu Hafidzan remuk akibat hilang kawalan.
A
A
A

JEMPOL –Dua beradik meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihan (HTAN) dalam tragedi menyayat hati pada Jumaat.

Mohd Fauzi, 39, diserang sawan selepas melihat abangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Petang, di sini.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital bagi rawatan.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, abang mangsa yang terlibat kemalangan, Hafidzan Zainal, 44, bekerja sendiri juga turut meninggal dunia di hospital kira-kira jam 8.20 malam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan awal, Fauzi telah melihat abangnya yang terlibat dalam kemalangan, sebelum mangsa pengsan dan mulutnya berbuih dipercayai sawan.

“Mangsa terus dikejarkan ke HTAN, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Pemeriksaan dibuat terhadap tubuh mangsa dan didapati tiada kecederaan atau luka luaran yang disyaki ada unsur jenayah.

“Semakan rekod perubatan dibuat, mangsa didapati mempunyai sejarah sakit sawan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Chang Hock memaklumkan, abang mangsa (Hafidzan) dipercayai terlibat dalam kemalangan, selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Simpang Pertang menghala ke Kuala Pilah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa, Shah Rizal, 41,ketika ditemui berkata, abangnya Hafidzan, memandu kereta Iswara yang baharu dibeli untuk ayah mereka, Zainal Sulong, 63, yang tinggal di Taman Kobena.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Mohd Fauzi yang mengikut abangnya ke Pasoh, untuk mengambil kereta itu difahamkan berada di belakang Hafidzan dengan menaiki sebuah lagi kereta lain, namun dia tidak menyangka kedua-dua mereka ditimpa musibah.

Dalam pada itu, isteri kepada Hafidzan, Jamilah Bukhairi,44, berkata beliau terkejut dengan berita kematian suaminya.

Katanya, suaminya tidak memaklumkan kepadanya mengenai kereta yang dibelikan mereka untuk ayah mertuanya itu.

"Saya tidak tahu mereka ke Pasoh untuk mengambil kereta, malah arwah suami juga tak maklumkan kepada saya mahu ke sana semalam.

"Saya sangat terkejut apabila mengetahui kejadian ini, saya hanya dimaklumkan berita itu selepas anak menunjukkan gambar ayahnya yang terlibat kemalangan,"katanya.

Tambah Jamilah, suaminya tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, namun sejak kebelakangan ini, arwah suaminya suka ketawa.