Sedia bersidang tambah baik undang-undang kesalahan jenayah syariah

Kenyataan media Zulkifli pada Sabtu.
Kenyataan media Zulkifli pada Sabtu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersedia untuk bersidang bagi penambahbaikan undang-undang kesalahan jenayah syariah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jawatankuasa itu akan berunding dengan negeri-negeri dan pihak berkepentingan dalam usaha untuk memperkasa dan menyeragamkan undang-undang syariah di Malaysia.

"Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat Undang-Undang Jakim bagi mendapatkan pandangan beliau berkenaan kesan dan implikasi perundangan yang berbangkit daripada keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

"Sekalung penghargaan ditujukan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mewakili kerajaan negeri Selangor yang akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dan meneliti perkara tersebut bagi memperkasa perundangan syariah di Selangor.

"Ini satu tindakan proaktif yang wajar diberi pengiktirafan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, Zulkifli berkata, beliau mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu membabitkan kes Iki Putra Mubarrak lawan Kerajaan negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Beliau berkata, penghakiman tersebut sudah pasti dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan hakim Mahkamah Persekutuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama lslam atau bukan Islam.

Malah, Zulkifli menyeru umat Islam di negara ini supaya menghormati penghakiman yang diputuskan dan tidak mencetuskan sebarang spekulasi daripada penghakiman tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjunjung Islam sebagai agama bagi Persekutuan, menjadikan kedudukan agama Islam di negara ini lebih istimewa berbanding agama lain.

"Ini sepertimana yang telah diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes terdahulu.

"Sebagai seorang menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, prinsip Perlembagaan ini akan terus dijunjung dan dipertahankan demi kemakmuran negara ini," kata beliau.