Masih ada yang gagal sediakan peralatan merekod diri pelanggan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesalahan gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan adalah yang tertinggi dikesan dengan 108 individu ditahan pada Jumaat kerana ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan lain direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal membabitkan 106 individu, tidak memakai pelitup muka (96), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (51), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42), aktiviti perjudian (18), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (10) dan lain-lain (satu).

"Seramai 432 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 414 dikompaun manakala 18 lagi direman," katanya dalam kenyataan perkembangan harian PKP pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau berkata, 27 pendatang tanpa izin ditahan dalam Ops Benteng di seluruh negara, manakala dua bot atau kapal serta sebuah kenderaan darat dirampas.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 38 bot/kapal di perairan negara melalui enam operasi penglihatan. Selain itu, seramai 10 pendatang tanpa izin turut diusir menerusi satu operasi pengusiran," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 1,318 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa pada Jumaat dan kesemua mereka dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong pula mendapati, bekalan makanan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi. - Bernama

Artikel Berkaitan: