Malaysia akan selesai masalah dengan Korea Utara: Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia bersedia untuk menyelesaikan masalahnya dengan Korea Utara berikutan pembunuhan berprofil tinggi Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Malaysia.

“Malaysia akan menyelesaikan masalahnya dengan Korea Utara kemudian,” kata beliau selepas menyerahkan kad keahlian Bersatu kepada enam bekas anggota Parlimen yang keluar UMNO di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada Malaysia menganggap sidang kemuncak kedua antara pemimpin Amerika Syarikat dan Korea Utara sebagai perkembangan positif untuk membuka semula kedutaannya di Pyongyang.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini mengumumkan bahawa sidang kemuncaknya yang kedua dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un akan diadakan di Hanoi, Vietnam, pada 27 dan 28 Februari.

Pembunuhan Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 2017 mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara. Menurut laporan terdahulu, Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang tidak mempunyai kakitangan sejak April 2017.

Dalam temu bual dengan Nikkei Asian Review tahun lepas, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Pyongyang dan mungkin menjalin semula hubungannya dengan Korea Utara.

Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak mahu berkonfrontasi dan berkonflik dengan mana-mana negara.

"Sebarang percubaan oleh mana-mana negara untuk bekerjasama dengan Malaysia adalah dialu-alukan," kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: