X

Kindly register in order to view this article
!

Program vaksinasi Covid-19 di luar bandar Sarawak bermula April

A
A

KUCHING - Program suntikan vaksin Covid-19 bagi kawasan di luar bandar Sarawak akan dilaksanakan secara besar-besaran bermula April, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, program vaksinasi bagi negeri Sarawak telah bermula sejak Jumaat, kecuali di bahagian utara negeri yang akan bermula minggu depan, dan ketika ini proses pendaftaran pengambilan vaksin di Sarawak sedang digiatkan.

“Program vaksiniasi untuk lebih 2.2 juta penduduk di Sarawak dijangka akan selesai Ogos ini.

“Melihat kelancaran proses vaksinasi yang dilakukan di beberapa pusat vaksinasi semalam dan hari ini, saya yakin ia mampu diselesaikan menjelang akhir Ogos tahun ini, tetapi ia masih bergantung kepada ketibaan vaksin,” katanya selepas menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Emperoh Jambu di sini pada Sabtu.

Sementara itu JPBN dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Jabatan Kesihatan Sarawak mengisytiharkan satu lagi kluster baharu jangkitan Covid-19 iaitu Kluster Buloh di Sibu, kira-kira 310 kilometer dari sini, melibatkan komuniti di tiga buah rumah panjang di kawasan Sungai Buloh dalam Daerah Selangau.

Katanya, indeks kes bagi kluster itu merupakan seorang wanita tempatan berumur 32 tahun yang telah dikesan melalui saringan bergejala pada 21 Februari lalu setelah kes mengalami tanda dan gejala Covid-19 sejak 17 Februari.

“Jangkitan berlaku menerusi pergaulan rapat dalam kalangan penduduk di rumah panjang yang terlibat. Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak rapat mendapati 27 kes baharu dikesan. Sejumlah 68 individu disaring di mana 28 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk indeks kes, 36 individu negatif, dan empat individu masih menunggu keputusan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, terdapat satu kes kematian baharu melibatkan jangkitan Covid-19 di Sarawak pada Sabtu menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan wabak itu di negeri ini meningkat kepada 81 orang.

Selain itu, 255 kes jangkitan baharu Covid-19 dikesan dan dilaporkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 9,374 kes, dan sehingga kini 27 kluster yang masih aktif di seluruh Sarawak. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!