CBP sasar peningkatan pendapatan Ar-Rahnu cecah RM350 juta

Mohd Nor Abd Razak
Mohd Nor Abd Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Co-opbank Pertama (CBP) mensasarkan peningkatan pendapatan daripada perkhidmatan Ar-Rahnu mencecah RM350 juta bagi tahun 2021 berbanding pencapaiannya sebanyak RM290 juta pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata, situasi semasa kesan Covid-19 itu menjadikan perkhidmatan Ar-Rahnu sebagai pembiayaan mikro terutama dalam kalangan golongan penjaja dan peniaga kecil.

“Sejak tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini, saya melihat ramai penjaja dan peniaga kecil menggunakan perkhidmatan pajak gadai konvensional atau Ar-Rahnu bagi dijadikan modal untuk memulakan perniagaan.

“Konsep dibawa ini bukan perkara baharu kerana perkara ia sudah menjadi amalan dalam kalangan peniaga wanita terutama di Pantai Timur apabila mereka menggunakan emas sebagai modal pusingan perniagaan.

“Sehubungan itu, saya ingin menguar-uarkan kepada umum bahawa emas yang digagar atau gadai boleh digunakan sebagai modal perniagaan terutama tempoh pandemik ini,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Mohd Nor bagaimanapun berkata, masyarakat masih kurang kesedaran mengenai kelebihan konsep pajak gadai Islam itu berbanding dengan aliran pajak gadai konvensional.

“Oleh demikian, saya rasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama pelanggan CBP supaya berhijrah daripada pajak gadai konvensional kepada Ar-Rahnu.

“Ar-Rahnu berlandaskan 100 peratus patuh syariah, tiada riba, telus kerana emas dinilai menggunakan mesin khusus, bermutu tinggi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan jika dibandingkan dengan pajak gadai konvensional yang dijalankan di luar kaunter,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, bagi memastikan CBP menjadi peneraju perkhidmatan Ar-Rahnu, satu kempen khusus diadakan awal bulan ini dengan menawarkan kadar keuntungan 6.9 hingga 7 peratus sahaja.

“Jika dibandingkan dengan pajak gadai Islam lain, kadar keuntungan maksimum adalah 12 peratus dan bagi pajak gadai konvensional pula sehingga 24 peratus yang juga jauh lebih tinggi jika dibanding kesemuanya.

“Kempen ini disasarkan dapat menjadikan CBP sebagai peneraju pasaran perkhidmatan pajak gadai Islam,” jelas beliau.