Sumber haram tidak boleh dibelanjakan untuk tujuan peribadi

Ahmad Husni - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahmad Husni - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM – Harta daripada sumber haram tidak berhak dibelanjakan untuk apa juga sebab, matlamat dan alasan peribadi termasuk tujuan ibadah umrah atau haji.

Pengurus Syariah Unit Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abd Rahman berkata, sebaliknya ia harus diuruskan dan digunakan untuk tujuan manfaat awam.

"Harta-harta ini (harta haram) adalah tiada nilai. Kalau dari sudut pemilikan, para ulama menganggap seseorang itu tidak berhak memilikinya atau membelanjakan untuk apa juga sebab, matlamat dan alasan.

"Para ulama memberi nasihat kepada kita bagaimana menguruskan harta haram. Antaranya digunakan pada manfaat yang bersifat umum iaitu bukan untuk peribadi ataupun keluarga," katanya pada Program Wacana Al-Quran Siri ke-94 bertajuk ‘Cuci Duit Pergi Umrah' di Kumpulan Karangkraf.

Program itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail.

Turut menampilkan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah manakala qari jemputan, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman memperdengarkan surah Al-Imran ayat 135 - 136.

Ahmad Husni menjelaskan antara kaedah pengurusan harta berkenaan ialah untuk kegunaan awam atau diserahkan kepada fakir miskin.

"Contohnya buat jalan, untuk tandas masjid dan sekolah...paling mudah, berikan kepada mana-mana fakir miskin kemudian lupakan harta itu kerana dalam syariat membenarkan dan fakir miskin ini ada kelebihan untuk menerima harta tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal yang kemudiannya akan menguruskan sesuai dengan panduan syarak dan diletakkan dalam satu akaun khas," katanya.