Lucut kewarganegaraan kepada individu hasut, kucar-kacir perpaduan

Gambar dari kiri: Mohamed Kathir Ali, Gurpreet Singh, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Ong Jen Tak
Gambar dari kiri: Mohamed Kathir Ali, Gurpreet Singh, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Ong Jen Tak
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan atau pihak berkuasa berkaitan wajar mengenakan tindakan melucutkan kewarganegaraan kepada individu yang menghasut serta mengucar-kacirkan perpaduan dalam negara ini.

Menerusi kenyataan bersama beberapa pertubuhan belia berkata, tindakan segera perlu diambil demi keharmonian dan perpaduan negara supaya dapat mengawal isu tersebut merebak dalam kalangan anak muda mahupun masyarakat.

Ini kerana, kata mereka, terdapat beberapa kenyataan individu yang tidak dikenali dibuat secara terbuka dalam pelbagai platform termasuk media sosial sekali gus dilihat mampu memesongkan serta menggalakkan anak muda terjebak dengan perkara itu.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang lebih bersifat perkauman dan boleh mencetuskan ketegangan kaum di Malaysia.

“Ia merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dari mana-mana pihak mengaitkan agama atau menyentuh isu perkauman dan keganasan.

“Kami menghormati ruang untuk berbicara secara terbuka tetapi kebebasan berbicara ada batasannya,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan bersama tersebut melibatkan Pengasas dan Penasihat Pergerakan Belia India Muslim Malaysia, Mohamed Kathir Ali; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Muhammad Faisal Abdul Aziz; Presiden Gerakan Belia Sikh Malaysia, Gurpreet Singh dan Presiden Persaudaraan Belia Methodist Malaysia, Ong Jen Tak.

Selain itu, kata mereka, pihak berkuasa dicadangkan untuk mengadakan pemantauan secara kerap terhadap media sosial demi mencegah perkara tersebut berleluasa.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sekiranya masih berlarutan, pihak berkuasa harus mengambil langkah untuk menyita saluran atau media sosial terbabit.

Pada 15 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap sentimen perkauman kerana negara ini memiliki rakyat yang berbilang bangsa.

Menurutnya, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan perkara yang boleh mengganggu gugat perpaduan negara.

“Kami juga memberi saranan kepada warga asing yang menetap dan bekerja di Malaysia supaya tidak memaparkan negara ini sebuah negara zalim. Warga asing perlu sedar bahawa undang-undang disini jauh beza berbanding negara mereka.

“Ini kerana di Malaysia kita mempunyai pelbagai latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa dan budaya.

“Kami membantah jangan sesekali membawa dan samakan isu negara anda dengan negara Malaysia,” kata kenyataan tersebut.