Pak Sood gigih cari rezeki, tak harap bantuan

Pegawai LZS ketika bertemui Pak Sood di ditempatnya menjalankan perniagaan berhampiran simpang keluar Bandar Puteri di sini. Video tular mengenai kisah Pak Sood yang menjalankan perniagaan air kelapa dengan kudratnya sendiri.
Pegawai LZS ketika bertemui Pak Sood di ditempatnya menjalankan perniagaan berhampiran simpang keluar Bandar Puteri di sini. Video tular mengenai kisah Pak Sood yang menjalankan perniagaan air kelapa dengan kudratnya sendiri.
A
A
A

KLANG - Kegigihan seorang warga emas berusia 80 tahun yang berusaha mencari rezeki dengan kudrat sendiri tanpa mengharapkan bantuan wajar dicontohi terutama generasi muda.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat berhubung warga emas berkenaan, Mohamad Sood @ Mohd Masod yang gigih menjalankan perniagaan air kelapa untuk mencari pendapatan harian.

Hasil maklumat diperoleh, LZS berjaya menjejaki warga emas berkenaan di lokasinya menjalankan perniagaan berhampiran simpang keluar Bandar Puteri di sini.

“LZS mendapati warga emas yang lebih mesra dengan panggilan Pak Sood itu menggunakan kudratnya mengusahakan perniagaan air kelapa.

“(Difahamkan) sebelum ini, Pak Sood menjalankan perniagaan menyewa kanopi namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dilaksanakan, perkhidmatan tersebut terpaksa dihentikan kerana tiada orang yang menyewa,” menurut kenyataan itu.

LZS memaklumkan, walaupun menanggung isteri dan seorang kakak ipar yang uzur, Pak Sood menolak sebarang bantuan daripada pihak zakat.

Kenyataan itu turut menyebut, anak-anak Pak Sood sudah berkahwin dan ada yang tinggal bersamanya.

“Belum sempat kami (LZS) mengutarakan sebarang bantuan, terlebih dahulu beliau menolak bantuan dari zakat kerana masih mampu dan berpendapat ada individu lain yang lebih memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Kami sangat kagum dengan semangat beliau yang berusaha mencari rezeki demi menyara keluarga walaupun di usia sedemikian,” katanya.

LZS memaklumkan kepada Pak Sood supaya terus berhubung dengan amil kariah jika memerlukan sebarang bantuan.

“Semoga semangat dan kegigihan Pak Sood memberi inspirasi kepada generasi muda masa kini dan didoakan kesihatannya sentiasa terpelihara,” katanya.

Sebelum ini kisah Pak Sood menjadi tular apabila seorang pengguna di laman Twitter membuat beberapa ciapan berkongsi pengalaman membeli air kelapa daripadanya.

Video berkenaan tular di media sosial kerana ramai simpati dengan keadaan warga emas berkenaan yang sudah tua namun tetap gigih berniaga demi menyara keluarga.