Johor sasar 80 peratus penduduk terima vaksin Covid-19

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk di Johor akan menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 menerusi tiga fasa yang akan dilancarkan pada Isnin ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, vaksinasi berkenaan hanya akan diberikan kepada mereka yang mahukannya kerana ia merupakan satu program secara sukarela.

Beliau berkata, fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan, manakala fasa kedua bagi golongan rentan seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik sebelum fasa ketiga diberikan masyarakat umum.

"Kerajaan negeri berharap dapat melancarkan program imunisasi Covid-19 pada 1 Mac ini. Fasa pertama dijangka selesai sehingga April.

"Vaksin pertama untuk negeri ini telah tiba pada 21 Februari lalu di Tambak Johor dan disambut sendiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

"Terdapat empat pusat penyimpanan vaksin di negeri ini iaitu di Hospital Permai, Johor Bahru ; Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat; Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Vidyananthan turut menasihatkan orang ramai yang masih ragu dengan pengambilan vaksin terbabit agar tidak mendorong atau menghasut orang lain untuk turut menolaknya.

Selain itu, katanya, rakyat Johor juga dinasihatkan supaya segera mendaftarkan diri bagi penerimaan vaksin menerusi beberapa kaedah sama ada melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang www.vaksincovid.gov.my atau pendaftaran di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

Artikel Berkaitan: