Bersidang di sekolah jika Parlimen belum dibuka, sindir Amiruddin

Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah
A
A
A

CHANGLUN - Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah menyindir dengan mempelawa semua ahli Parlimen supaya bersidang di sekolah sekiranya Dewan Rakyat masih belum boleh dibuka pada Mac ini.

Beliau berkata, sindiran seperti itu semakin banyak kedengaran ketika ini kononnya kawasan sekolah dianggap lebih selamat berbanding kawasan Parlimen apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan dibuka semula pada 1 Mac ini.

"Jika mengikut jadual, Parlimen sudah wajib bersidang dan sepatutnya dibuka pada 8 Mac depan. Banyak perkara yang perlu dibangkit dan dipersoalkan.

"Sidang Parlimen dipanggil atas nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, atau Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan sidang Parlimen diadakan tanpa perlu nasihat," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan rumah Ahli Parlimen Kubang Pasu kepada pasangan warga emas di Kampung Darat, Changlun pada Sabtu.

Amiruddin berkata demikian ketika diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Sementara itu, Amiruddin berkata, sidang Parlimen perlu disegerakan sebagai menjadi semak dan imbang kepada setiap tindakan yang dilakukan kerajaan sepanjang tempoh darurat ini.

"Kebanyakan negara yang mengisytiharkan darurat akibat penularan Covid-19 didapati tetap mengadakan sidang Parlimen masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yassin apabila Parlimen bersidang nanti.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkara tersebut disebabkan oleh beberapa ahli Parlimen daripada UMNO telah menyatakan bahawa mereka menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

"Selepas apa yang berlaku ini menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpotensi hilang majoriti di Dewan Rakyat," katanya.