Yayasan Dato' Zul Wisma agih setengah juta ringgit bantu asnaf di Kelantan

Keterangan gambarMohd Hasany (kiri) ditemani Zulkepli (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada salah seorang penerima di Dewan Budaya Dato' Zul Wisma, Kota Bharu pada Sabtu.
Keterangan gambarMohd Hasany (kiri) ditemani Zulkepli (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada salah seorang penerima di Dewan Budaya Dato' Zul Wisma, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Yayasan Amal Dato' Zul Wisma membelanjakan sebanyak RM500,000 sejak ditubuhkan pada tahun 2016 bagi membantu keluarga asnaf di seluruh Kelantan termasuk individu terjejas pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Dr Zulkepli Mohamad berkata, pelbagai bentuk bantuan terdiri daripada wang tunai dan barangan keperluan asas telah disalurkan kepada lebih 2,500 keluarga yang benar-benar layak.

Malah, katanya, permohonan diterima pihaknya sentiasa bertambah dari semasa ke semasa berikutan kesempitan hidup dan ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Hampir setiap hari ada saja individu datang ke pejabat kami memohon bantuan dan mengadu masalah mereka dan mengharapkan bantuan segera.

"Sebagai contoh, yayasan menerima 1,000 permohonan untuk mendapatkan kelengkapan sekolah. Bagaimanapun, kiat terpaksa buat saringan dengan memilih keluarga betul-betul daif untuk menerima bantuan," katanya ketika ditemui pemberita ketika majlis sumbangan persekolahan kepada 546 pelajar miskin membabitkan 217 keluarga asnaf seluruh Kelantan di Dewan Budaya Dato' Zul Wisma di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Kelantan, Mohd Hasany Hashim dan Ketua Pegawai Pembangunan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Mohd Azman Ghazali.

Zulkepli berkata, pihaknya perlu melakukan saringan untuk mengagihkan bantuan kerana yayasan menghadapi kekangan dana untuk membantu kesemua yang memohon.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya bernasib baik kerana turut menerima bantuan dana daripada MAIK selain Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi serta badan korporat dan perseorangan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Nor Fatihah Nawawi, 27, dari Pasir Puteh berkata, dia bersyukur kerana menerima bantuan pakaian dan kelengkapan sekolah daripada yayasan untuk persekolahan tiga anaknya.

"Saya memang mengharapkan bantuan daripada yayasan untuk kelengkapan anak-anak sebab hasil jualan perniagaan saya pun tidak menentu," katanya.