Berhenti ganggu wakil rakyat pembangkang

Razeef Rakimin
Razeef Rakimin
A
A
A

KOTA KINABALU - Perikatan Nasional (PN) perlu segera berhenti mengganggu wakil rakyat pembangkang, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin.

Razeef berkata, sebaliknya PN harus fokus kepada isu besar yang sedang melanda negara ketika ini.

Katanya, Langkah Sheraton pada tahun lalu telah membuka ruang kepada penularan wabak Covid-19.

"Kegilaan untuk merampas beberapa negeri ketika petugas barisan hadapan bertarung nyawa mengekang wabak Covid-19 mengakibatkan negara hampir lumpuh dengan ribuan kes sehari.

"Pihak pembangkang cuba untuk tidak berpolitik dan ingin bersama kerajaan dalam usaha melawan wabak Covid-19 namun sehingga ke hari ini, PN masih berusaha untuk menarik wakil rakyat pembangkang dengan menawarkan pelbagai laba politik demi mengekalkan kuasa politik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah turut mengingatkan ahli Parlimen pembangkang supaya tidak mengkhianati mandat yang telah diberikan rakyat.

"Habuan politik seperti wang ringgit, projek serta jawatan tidak mampu membersihkan maruah dan keluarga kamu yang tercalar akibat pengkhianatan.

"Saya yakin rakyat akan humban pengkhianat pada Pilihan Raya Umum akan datang kerana rakyat sudah tahu kuasa sebenar mereka selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razeef turut berkata, kerajaan yang ada pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak ada sokongan majoriti ahli Parlimen.

"Namun mereka perlu menggalas tanggungjawab apatah lagi selepas melakukan pengkhianatan dengan alasan ingin menyelamatkan negara.

"Kerajaan sepatutnya fokus menangani penularan Covid-19 serta berusaha membangunkan ekonomi," katanya.

Khamis lalu, ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).