X

Kindly register in order to view this article
!

Kesalahan berulang, cetus kluster baharu akan dikompaun RM10,000

Abdul Hamid Bador
A
A

JELI - [DIKEMASKINI] Individu yang melakukan kesalahan berulang berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan mencetuskan kluster baharu Covid-19 bakal berdepan kompaun RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya akan melakukan semakan rekod terlebih dahulu untuk melihat sama ada individu tersebut pernah dikompaun atau sebaliknya sebelum ini.

"Jika individu itu mempunyai rekod pelanggaran SOP, PDRM akan mencadangkan kompaun RM10,000 dan ke atas terhadap pesalah tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang baharu, pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Menurutnya, nilai tersebut hanya terpakai kepada dua kesalahan itu sahaja dan tidak melibatkan pelanggaran SOP yang lain.

Beliau berkata, nilai kompaun tersebut ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abdul Hamid berkata, PDRM hanya menguatkuasakan undang-udang sahaja.

Media sebelum ini melaporkan orang ramai yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuatkuasa 11 Mac.

Kompaun sebanyak RM50,000 turut dikenakan bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama.

Kenyataan itu telah menyebabkan perdebatan hangat antara pengguna media sosial yang yang kurang bersetuju dengan nilai tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!