X

Kindly register in order to view this article
!

Insiden Proton Waja: Dua lelaki direman empat hari

Dua lelaki yang menaiki Proton Waja berkenaan direman selama empat hari mulai Sabtu untuk siasatan kes yang berlaku di Bulatan Sierramas, Petaling Jaya pada Jumaat.
A
A

PETALING JAYA - Dua lelaki yang bertindak ganas merempuh beberapa buah kenderaan hingga memaksa polis melepaskan tembakan di Bulatan Sierramas dekat sini pada Jumaat direman empat hari bermula Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 40 tahun itu direman sehingga 2 Mac ini.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari Jumaat, dua lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Waja itu telah dikejar oleh unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dari Kampung Desa Aman sebelum terkepung dengan kenderaan lain di lampu isyarat.

Kenderaan suspek juga cuba merempuh kereta polis hingga memaksa salah seorang anggota polis melepaskan tembakan pada tayar Proton Waja terbabit.

Suspek kemudian berjaya melepaskan diri selepas merempuh kenderaan di hadapannya dan memecut ke arah Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh sebelum berhenti di tepi jalan kerana kebocoran tayar.

Tindakan pantas Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) berjaya menemui dadah jenis heroin seberat kira-kira 1.7 gram di dalam kereta berkenaan.

Susulan itu, suspek berjaya diberkas dalam tangkapan berasingan kira-kira jam 6.30 petang dan 11.45 malam pada hari sama.

Nik Ezanee berkata, lelaki yang memandu Proton Waja itu didapati memiliki enam rekod jenayah dan 14 rekod dadah, manakala rakannya mempunyai lapan rekod lampau kes dadah.

Beberapa rakaman video turut tular di laman sosial memaparkan kejadian itu yang dirakam orang awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Proton Waja akhirnya diberkas

Polis tembak tayar Proton Waja selepas rempuh kenderaan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!