X

Kindly register in order to view this article
!

Mohd Radzi, empat guru terima suntikan vaksin Covid-19

Radzi menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech oleh vaksinator Muhammad Bakhrul Ulum Mohd Rashid di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Jidin bersama empat guru hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, di sini pada Sabtu.

Radzi ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan vaksin itu turut menyeru rakyat Malaysia termasuk lebih 500,000 guru di seluruh negara untuk segera mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan tersebut.

Menurutnya, empat individu tersebut merupakan antara 55,539 guru berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang tersenarai menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Masa kena suntik (vaksin)...tidak rasa apa-apa. Alhamdulillah semuanya baik dan semua rakyat Malaysia perlu mengambil ruang ini untuk daftar segera di MySejahtera supaya proses vaksinasi dapat berjalan lancar," katanya berkongsi pengalaman ketika menerima suntikan vaksin tersebut.

Beliau berkata, sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula Isnin ini (1 Mac) dan suntikan vaksin tersebut adalah bagi memastikan keadaan selamat dan selesa untuk murid-murid dan guru-guru di seluruh negara seterusnya agar sesi persekolahan berjalan lancar.

Guru Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1), Badaruddin Yahya (duduk, kanan) dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, Chan Han Hua (duduk, kiri) selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 hari ini. - Foto Bernama
Guru Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1), Badaruddin Yahya (duduk, kanan) dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, Chan Han Hua (duduk, kiri) selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 hari ini. - Foto Bernama

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dipatuhi di sekolah seluruh negara apabila sesi persekolahan bermula supaya sesi pembelajaran dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat.

Ditanya adakah kehadiran murid-murid di sekolah secara bersemuka diwajibkan, beliau berkata, ibu bapa harus menulis surat kepada sekolah dengan dokumen sokongan untuk rekod jika tidak dapat menghantar anak-anak ke sekolah atas sebab tertentu seperti kesihatan.

"KPM akan sedaya upaya memastikan sesi persekolahan Isnin nanti berjalan dengan selamat serta menjadi satu ruang untuk anak-anak kembali belajar secara bersemuka," katanya.

Radzi pada 19 Februari lalu mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19 akan bermula pada 1 Mac ini.

Keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hingga Enam sesi akan bermula pada 8 Mac. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!