RM18.1 bilion pengeluaran i-Lestari setakat ini

Sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari. - Foto Bernama
Sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sehingga kini, sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari, yang merupakan antara langkah awal yang diambil dalam situasi mencabar sepanjang 2020 ekoran pandemik Covid-19, menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam kenyataan pada Sabtu, dana persaraan itu menjelaskan ia bertindak balas dengan melaksanakan beberapa langkah awal untuk membantu ahli dan majikan menangani masalah aliran tunai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac, 2020 hingga 12 Mei, 2020 dengan kebanyakan sektor ekonomi terpaksa ditutup.

“KWSP merupakan antara dana persaraan terawal di dunia yang memberikan bantuan kepada ahli ketika pandemik Covid-19 merebak dengan melancarkan Skim Pengeluaran Akaun Dua i-Lestari untuk memberi bantuan kewangan kepada ahli,” katanya.

Ia menekankan langkah lain yang diambil termasuk membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib mereka daripada 11 peratus kepada tujuh peratus berkuat kuasa April 2020 hingga Disember 2020.

Bagi memastikan majikan dapat menampung kos dan terus mengekalkan pekerja mereka, KWSP telah menawarkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), yang dikhususkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

e-CAP memberi fleksibiliti kepada PKS yang layak untuk memohon penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan dan sebanyak 13,090 majikan telah memanfaatkan kemudahan ini dengan jumlah kumulatif RM84.95 juta, jelasnya.

“Program ini diperkenalkan untuk membantu PKS menguruskan aliran tunai mereka dan juga untuk memenuhi kewajipan membayar sebahagian caruman KWSP mereka,” menurut dana persaraan itu.

KWSP menjelaskan untuk memastikan keselamatan pekerja dan ahli, KWSP bertindak proaktif bagi menyesuaikan operasi dengan realiti baharu melalui perkhidmatan berlandaskan ‘Kurangkan Sentuhan, Lebihkan Penjarakan’ dengan pengenalan Janji Temu Online (JTO).

Artikel Berkaitan:

Melalui JTO, KWSP memastikan langkah-langkah penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard dipatuhi dengan ketat sementara jumlah pengunjung dikurangkan di setiap cawangan.

Jumlah ahli KWSP meningkat sebanyak dua peratus kepada 14.89 juta, sementara majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah sebanyak 534,398.

KWSP yang mencatatkan prestasi kukuh daripada aspek operasi dan kewangan bagi 2020 mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus dan jumlah agihan RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional.

Dana persaraan itu juga mengisytiharkan dividen sebanyak 4.90 peratus untuk Simpanan Shariah dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion.

Dana persaraan itu memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap satu peratus dividen bagi Simpanan Konvensional dan RM972 juta untuk membayar setiap satu peratus dividen untuk Simpanan Shariah bagi 2020. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP umum agihan dividen keseluruhan RM47.64 bilion