RM77 juta projek rancangan tebatan banjir Kota Belud

Tuan Ibrahim (kiri) diberi penerangan oleh Jurutera Jabatan Parit dan Saliran Kota Belud, Jaffri Bahan (kanan) mengenai kawasan tambatan banjir yang akan dibina di Sungai Tempasuk ketika melakukan lawatan di kawasan banjir dan projek tebatan banjir pada Sabtu. - Foto Bernama
Tuan Ibrahim (kiri) diberi penerangan oleh Jurutera Jabatan Parit dan Saliran Kota Belud, Jaffri Bahan (kanan) mengenai kawasan tambatan banjir yang akan dibina di Sungai Tempasuk ketika melakukan lawatan di kawasan banjir dan projek tebatan banjir pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BELUD - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan sebanyak RM77 juta bagi projek rancangan tebatan banjir untuk mengatasi masalah banjir yang sering melanda daerah Kota Belud.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada jumlah itu, RM27 juta diperuntukkan bagi rancangan tebatan Sungai Gurong-Gurong yang dijangka siap pada 2022.

"Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi projek tebatan empat batang sungai iaitu Sungai Kadamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang yang kini dalam proses pembinaan.

"Ada projek sedang dijalankan yang dijangka siap pada 2022 dan ada projek yang perlu disegerakan iaitu empat ban besar (sungai) yang diberikan peruntukan kecemasan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke daerah Kota Belud di sini pada Sabtu.

Tuan Ibrahim berkata, dengan pembinaan tebatan banjir itu akan mengurangkan risiko banjir di daerah itu yang merekodkan sebanyak 86 kali selepas berlakunya gempa bumi pada 2015.

Beliau berkata, kejadian gempa bumi itu telah menyebabkan berlakunya perubahan bentuk muka bumi terutamanya di lembangan sungai yang menjadi antara faktor berlakunya masalah banjir di Kota Belud.

"KASA bersama kerajaan negeri dan agensi berkaitan juga akan mencari penyelesaian masalah muara sungai yang dipenuhi dengan longgokan pasir yang menyekat pengaliran air sungai," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, KASA sedang membangunkan kajian menyeluruh mengenai lembangan sungai di Sabah sebagai panduan sebelum sesuatu pembangunan dijalankan terutamanya kawasan pinggir sungai.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hampir setahun menerajui KASA, kementerian itu tidak hanya menguatkuasakan undang-undang, malah memfokuskan usaha meningkatkan kelestarian alam iaitu dengan mematuhi garis panduan agar pembangunan yang dijalankan tidak akan merosakkan alam sekitar.

"Selain itu, kementerian juga memberi fokus kepada sektor air yang melibatkan pelbagai agensi bagi membekalkan sumber air kepada penduduk," katanya.