Untung bersih MBSB susut, rekod RM447.85 juta

Keuntungan bersih MBSB merekodkan penyusutan sebanyak 62.43 peratus kepada RM447.58 juta pada 2020 berbanding RM716.90 juta tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih MBSB merekodkan penyusutan sebanyak 62.43 peratus kepada RM447.58 juta pada 2020 berbanding RM716.90 juta tahun sebelumnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Malaysia Building Society Bhd (MBSB) merekodkan penyusutan sebanyak 62.43 peratus kepada RM447.58 juta pada 2020 berbanding RM716.90 juta tahun sebelumnya.

Ia didorong penurunan nilai aset dan kerugian pengubahsuaian yang tinggi disebabkan pembiayaan moratorium kepada pelanggan yang diberikan tahun lalu.

Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan dicatat pada RM427.64 juta pada Tahun Kewangan 2020 iaitu RM469.79 juta atau penurunan 52.35 peratus daripada RM897.43 juta pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan kepada pendapatan kumpulan sebanyak 4.43 peratus atau RM133.50 juta daripada RM3.01 bilion pada 2019.

Ia disebabkan keuntungan penjualan pelaburan kewangan yang lebih tinggi pada 2020 sebanyak RM249.60 juta berbanding RM60.02 juta pada tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, pihaknya telah melaksanakan pemulihan secara bertahap dalam menavigasi perniagaan di bawah persekitaran ekonomi yang sangat tidak menentu.

“Walaupun mengalami kerugian pengubahsuaian yang besar sebanyak RM504.75 juta pada tahun lalu kerana moratorium automatik yang diberikan kerajaan, kerugian pengubahsuaian kini lebih terkawal kerana pelaksanaan bantuan bersasar kepada yang lebih memerlukan.

“Bagaimanapun kami akan terus membantu pelanggan berdasarkan keadaan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah aset kumpulan turut mencatatkan penurunan sebanyak RM2.27 bilion atau 4.48 peratus daripada RM50.71 bilion pada 2019 disebabkan penurunan penempatan antara bank.

“Deposit kumpulan menurun sedikit kepada RM33.88 bilion daripada RM35.89 bilion pada 2019 manakala nisbah pembiayaan terjejas bersih berada pada 2.81 peratus pada tahun lalu berbanding 2.89 peratus tahun sebelumnya kerana kos pendanaan yang lebih rendah,” katanya.

Menurut Ahmad Zaini lagi, terdapat beberapa perkembangan asas yang berlaku di anak syarikat perbankan milik penuh kumpulan, menjadikan Portofolio Kewangan Perdagangan tetap kukuh dengan menyumbang RM1.10 bilion pada suku itu.

“Kempen e-Prime Term Deposit-i yang dilancarkan pada November 2020 mendapat sambutan luar biasa dengan sasaran dicapai dalam tempoih hanya dua bulan dari tarikh pelancaran.

“Kami menjangkakan suntikan modal untuk tiga tahun seterusnya akan mengukuhkan lagi kedudukan modal kumpulan.

“Selain itu, kami akan berusaha meningkatkan pendapatan berdasarkan yuran kami, seperti pengurusan kekayaan dan mengurangkan kerugian kasar nisbah pembiayaan kami,” katanya.