UMNO Perak tak campur agihan kerusi PN

Saarani berkata kepada pemberita ketika ditemui sempena lawatan kerja Projek Jiwa Murni di Surau Islahiyah di pekan Lenggong pada Sabtu.
Saarani berkata kepada pemberita ketika ditemui sempena lawatan kerja Projek Jiwa Murni di Surau Islahiyah di pekan Lenggong pada Sabtu.
A
A
A

LENGGONG - [DIKEMASKINI] UMNO Perak tidak campur tangan dalam sebarang perbincangan pengagihan kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dan komponannya bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, rundingan mengenai agihan kerusi hanya dimuktamadkan antara parti itu bersama Pas di bawah gabungan Muafakat Nasional (MN).

"Seperti saya selalu sebutkan, kita yang ada di Perak ini malah seluruh negara mengikut keputusan Majlis Tertinggi yang mana kita berkolobrasi dengan Pas.

"Sekiranya ada perundingan kerusi, tentunya ia antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas.

"Jika PN sudah mulakan rundingan kerusi, itu kita tak campur, kita hanya dengan Pas," katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja Projek Jiwa Murni di Surau Islahiyah di pekan Lenggong di sini pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun menegaskan, setakat ini, UMNO negeri belum memulakan sebarang perbincangan lanjut bersama Pas berhubung perkara itu.

Katanya, mereka perlu menunggu sebarang keputusan yang dimuktamadkan Jawatankuasa Perundingan antara UMNO dan Pas terlebih dahulu.

"Setelah dapat formula itu dan dimaklumkan kepada kita, barulah kita boleh berunding dengan Pas sebab hal agihan kerusi ini tidak hanya melihat satu negeri sahaja tetapi keseluruhannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Saarani menegaskan, kedua-dua parti kekal dengan ketetapan yang dibuat sebelum ini bahawa tidak akan berlaku pertembungan kerusi antara UMNO dan Pas.

"UMNO tak akan lawan Pas di tempat yang kita menang, begitu juga Pas...yang lain kita akan agih.

"Sejarahnya 2018 (PRU14), UMNO menang di 27 kerusi (DUN), Pas menang di tiga kerusi...status quo yang itu akan kekal kerana itulah tanda persahabatan kita semasa MN," katanya.

Pada Selasa media melaporkan, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah dilantik mengetuai perbincangan berhubung pengagihan kerusi parti itu bersama komponen lain dalam PN.

Ahmad Faizal yang mengesahkan perkara itu turut memaklumkan bahawa semua parti dalam PN berhak menyatakan minat mereka untuk bertanding di mana-mana kerusi.