Pahang sokong Bentong jadi bandar raya kedua

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menyokong sepenuhnya cadangan menjadikan daerah Bentong sebagai bandar raya kedua selepas Bandaraya Kuantan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daerah itu hampir menepati kriteria ditetapkan untuk dinaik taraf sebagai bandar raya.

"Kalau kita lihat dari segi penjanaan pendapatan, Bentong sudah boleh diiktiraf tetapi masalahnya hanya jumlah penduduk yang belum mencapai kriteria.

"Jadi, kerajaan Pahang kena dinamik dan progresif, dan kita mesti melihat kepada daerah-daerah lain pula yang ada untuk dinaik taraf," katanya pada Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri, di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah pada Jumaat.

Katanya, sebagai contoh, peluang pekerjaan dan pasti pekerja dapat dinaikkan gred kerana mendapat peruntukan yang lebih.

"Justeru, kita tidak boleh duduk diam selepas Kuantan menjadi bandar raya.. Jadi saya bersama Exco kerajaan Pahang dan Setiausaha Kerajaan Pahang memikirkan daerah lain yang boleh dijadikan bandar raya," katanya.

Beliau berkata, antara daerah yang dikenal pasti ialah Bentong dan Temerloh namun yang paling hampir menepati syarat ialah Bentong.

"Sebab itu, kerajaan Pahang akan memainkan peranan bagi memastikan hasrat ini tercapai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menjelaskan Bentong yang terletak berhampiran Lembah Kelang pula dijangka bakal menjadi bandar raya kedua di negeri ini selepas menepati kriteria yang ditetapkan.

Zuraida berkata, pada masa ini kementerian menunggu permohonan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Tempatan bagi mendapat pertimbangan Kabinet untuk merealisasikan perkara itu.

Majlis Perbandaran Bentong mempunyai kriteria menjadi bandar raya termasuk jumlah penduduk hampir 500,000 orang dengan merekodkan pendapatan kira-kira RM100 juta setahun.