Dua juta dos Sinovac akan dikeluarkan setiap bulan

Malaysia hari ini menerima vaksin Covid-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319. - Foto Bernama
Malaysia hari ini menerima vaksin Covid-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Kerajaan menjangkakan sebanyak dua juta dos vaksin Sinovac akan dikeluarkan setiap bulan oleh Pharmaniaga Bhd selepas syarikat famaseutikal itu mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia sekali gus diharap mampu menampung bekalan vaksin yang masih lagi kurang ketika ini.

"Saya diberitahu Pharmaniaga kalau diluluskan (pengilangan vaksin) dapat keluarkan dua juta dos setiap bulan melalui kilangnya di Puchong.

"Maksudnya kita ada bekalan yang stabil daripada Pharmaniaga (apabila ia diluluskan nanti)," katanya pada sidang media sempena Ketibaan Bekalan Kedua Vaksin Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 keluaran Sinovac tiba di Malaysia

Vaksin Sinovac masih dalam penilaian NPRA

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagaimanapun berkata, kualiti vaksin yang akan melalui proses pengilangan di Malaysia itu perlu mempunyai kualiti dan potensi yang sama sebagai mana yang dihasilkan oleh pengilang Sinovac di China.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa tahap keberkesanan vaksin Sinovac ini adalah antara 50.4 peratus sehingga 91.25 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Vaksin ini juga telah diguna di negara-negara selain China iaitu di Indonesia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jokowi individu pertama terima suntikan vaksin Covid-19

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa vaksin Sinovac keluaran China yang diterima dalam bentuk pukal itu masih dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, vaksin itu perlu melalui proses pengilangan oleh Pharmaniaga Bhd untuk membolehkan penilaian dibuat sama ada diluluskan atau sebaliknya.

Malaysia pada Sabtu, menerima vaksin Covid-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319.

Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang yang membawa envirotainer mengandungi vaksin Covid-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter itu, mendarat pada kira-kira jam 9 pagi di KLIA di sini.

Vaksin Covid-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal China, Sinovac itu diangkut menggunakan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) iaitu pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo, boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.