[DIKEMASKINI] 'Saya akan ambil vaksin yang seterusnya'

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memutuskan untuk tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.

Beliau sebaliknya memilih menjadi orang pertama mengambil vaksin yang akan diluluskan seterusnya nanti.

Katanya, keputusan yang dibuat itu bukan bermakna vaksin keluaran Pfizer itu tidak bagus tetapi beliau ingin memberi contoh kepada vaksin kedua yang akan digunakan di negara ini.

"Saya telah meneliti sejak beberapa hari ini (tentang) pandangan dan pendapat daripada rakyat. Saya melihat Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan sekarang ini ramai menteri besar dan petugas barisan hadapan mula menerima vaksin Pfizer.

"Jadi rakyat sudah semakin yakin dengan Pfizer sebab Perdana Menteri sudah ambil, Menteri Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pun sudah ambil (dan) tidak ada apa apa kesan sampingan.

"Jadi saya sudah membuat keputusan semalam, (bahawa) akan ambil vaksin yang akan diluluskan seterusnya," katanya pada sidang media sempena Ketibaan Bekalan Kedua Vaksin Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bila dirinya selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mengambil suntikan vaksin.

Jelasnya, jika semua barisan menteri atau orang kenamaan mengambil vaksin keluaran Pfizer itu, bagaimana untuk meyakinkan rakyat untuk mengambil vaksin seterusnya yang akan diluluskan nanti.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, biarlah ada juga daripada barisan menteri ini yang memberi contoh untuk ambil vaksin yang akan datang.

"Apa sahaja vaksin yang akan diluluskan (akan datang) saya akan ambil (tetapi) tidak tahu bila," katanya.