Vaksin Sinovac masih dalam penilaian NPRA

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Vaksin Sinovac keluaran China masih dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, vaksin itu perlu melalui proses pengilangan oleh Pharmaniaga Bhd untuk membolehkan penilaian dibuat sama ada diluluskan atau sebaliknya.

Jelasnya, ini kerana proses pengilangan itu antara kriteria yang akan dinilai sebelum membuat syor kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

"Ramai yang tanya kenapa hari ini kita terima vaksin yang masih lagi belum dapat kelulusan daripada NPRA.

"Ia bukan vaksin produk siap. Maksudnya vaksin itu bukan datang yang sudah masuk dalam bebuli (dibotolkan) tetapi secara pukal.

"Maksudnya (apabila) kita dapat dalam bentuk pukal dan ia akan dihantar ke kilang Pharmaniaga di Puchong di mana satu langkah untuk kelulusan itu akan bermula," katanya pada sidang akhbar Ketibaan Bekalan Kedua Vaksin Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Menurut Khairy Jamaluddin, NPRA hanya boleh meluluskan penggunaan vaksin keluaran China itu selepas melihat bagaimana vaksin tersebut dikilangkan atau dibotolkan di kilang Pharmaniaga.

Sementara itu, menyentuh ketibaan bekalan kedua vaksin di Malaysia, beliau menyifatkan ia perkembangan baik dalam usaha untuk menambah bekalan vaksin yang ada di negara ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita meletakkan sasaran 80 peratus penduduk di Malaysia diberikan vaksinasi Covid-19," katanya.

Malaysia pada Sabtu menerima vaksin Covid-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 keluaran Sinovac tiba di Malaysia

Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang yang membawa envirotainer mengandungi vaksin Covid-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter itu, mendarat pada kira-kira 9 pagi di KLIA di sini.

Vaksin Covid-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal China, Sinovac itu dibawa menggunakan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) iaitu pesawat penumpang untuk perkhidmatan kargo, boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.

Ketibaan pesawat itu disambut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Turut serta ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.