Padah buat laporan palsu elak didenda hilang MyKad

Alif (dua, kiri) dan Muhamad Farishafiq (tiga, kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Parit hari ini selepas masing-masing dijatuhi hukuman denda RM2,000 atas pertuduhan membuat laporan palsu disamun bersenjata bulan lalu.
Alif (dua, kiri) dan Muhamad Farishafiq (tiga, kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Parit hari ini selepas masing-masing dijatuhi hukuman denda RM2,000 atas pertuduhan membuat laporan palsu disamun bersenjata bulan lalu.
A
A
A

PARIT – Dua lelaki masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini gara-gara membuat laporan polis disamun bagi mengelak dikenakan denda dari Jabatan Pendaftaran Negara kerana hilang MyKad, hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Alif Omar Sidek dan rakannya Muhamad Farishafiq Mohd Johari, masing-masing berusia 20 tahun, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa membuat dua laporan palsu secara berasingan mendakwa disamun bersenjata oleh dua lelaki di hadapan McDonald's Seri Iskandar kira-kira jam 1 pagi pada 23 Januari lalu.

Laporan palsu tersebut dibuat mereka di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada jam 9.30 malam keesokan hari bertujuan menggantikan semula kad pengenalan mereka yang hilang.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada Alif dan Muhamad Farishafiq malah masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun, R Prabakaran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu supaya diberikan hukuman denda yang rendah memandangkan mereka berdua masing-masing bekerja sebagai mekanik dan pembantu cef selain pertama kali melakukan kesalahan itu.

Mohd Fitri kemudian menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM2,000 terhadap Alif dan Muhamad Farishafiq atau dipenjarakan selama dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Artikel Berkaitan: