X

Kindly register in order to view this article
!

Majoriti asas demokrasi berparlimen

A
A

KITA menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong membenarkan Parlimen kembali bersidang.

Walaupun darurat masih berkuat kuasa, kebenaran untuk Parlimen kembali bersidang sememangnya langkah tepat bagi memastikan sistem politik negara berjalan dengan baik dan lancar.

Dengan kebenaran itu, peranan semak dan imbang antara cabang-cabang kerajaan akan kembali berfungsi, sekali gus mengukuhkan proses demokrasi.

Umum faham mengapa tindakan darurat diambil tetapi ia juga bukan satu alasan untuk menghambat perjalanan demokrasi negara.

Sebab itu, sebagai pemerhati politik, di sebalik darurat, menyekat ruang untuk melakukan proses semak dan imbang serta menyoal kebertanggungjawaban urus tadbir kerajaan dalam Parlimen adalah sesuatu yang tidak wajar.

Ia jelas bertentangan dengan amalan demokrasi berparlimen dan keluhuran perlembagaan.

Dengan kebenaran itu, ia membuktikan bahawa negara masih kuat mempertahankan amalan demokrasi dan mendokong perlembagaan.

Namun, perkara itu hanya akan berlaku sekiranya peraturan permainan (rule of the game) yang membentuk sistem demokrasi berparlimen terus dihormati dan diamalkan.

Selagi mana dalam teori permainan, wajib kepada semua pemain untuk menghormati dan mengikut peraturan permainan walaupun kadang-kadang keputusan permainan tidak menyebelahi kemahuan kita.

Dalam konteks itu, memang ada kebimbangan pembukaan semula sidang nanti akan membawa kemelut politik yang baharu kepada negara. Isu yang paling besar sudah tentulah persoalan kedudukan majoriti kerajaan dalam Parlimen.

Walaupun ada sesetengah pihak yang mahu hal itu ditangguhkan seketika tetapi persoalan majoriti itu melibatkan peraturan permainan paling asas dalam sistem demokrasi.

Menolak untuk membincangkannya adalah sama seperti tidak mematuhi peraturan asas dalam sesebuah permainan.

Bukan niat untuk tidak menghormati pandangan atau menafikan kesukaran semasa tetapi majoriti adalah asas yang membentuk peraturan permainan dalam amalan demokrasi berparlimen.

Syaratnya mudah. Mana-mana parti memiliki majoriti diperlukan akan diisytihar menang.

Sebagai pemenang, mereka akan memerintah bagi tempoh tertentu. Jika hilang majoriti, maka ia perlu letak jawatan dan pindahkan kuasa kepada parti lain yang ada majoriti.

Sebab itulah menghormati hak majoriti adalah tindakan paling demokratik dalam amalan berdemokrasi.

Kemampuan mana-mana parti untuk menghormati hak majoriti inilah yang mendokong dan menghidupkan amalan demokrasi.

Sebab itu, ukuran pendemokrasian yang sebenar selalu dilihat daripada sejauh mana proses transisi politik negara itu berlaku selepas majoriti bersuara. Dan, ia harus berlaku secara konsisten dalam konteks demokrasi berparlimen serta amalan berperlembagaan. Kita sudah dua kali menyaksikan keputusan majoriti itu dihormati.

Pada 2018, Barisan Nasional (BN) melakukan perkara yang paling demokratik pernah dilakukan dalam sejarah parti itu apabila menghormati suara majoriti dan akur menyerahkan kuasa kepada Pakatan Harapan (PH).

Tahun 2020, PH juga akur dengan ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada kehilangan majoritinya kepada Perikatan Nasional (PN). Kedua-duanya memperlihatkan proses transisi kuasa yang baik dan lancar. Sekurang-kurangnya tidaklah berlaku masalah seperti di Myanmar atau sabotaj ala-Trump di Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

Benar, masih ada banyak kelemahan dalam amalan demokrasi negara. Malah, pelbagai aspek penambahbaikan yang perlu dilakukan semua pihak bagi memastikan amalan demokrasi berparlimen kita terus diperkukuhkan terutama dalam dua angkubah terpenting sistem demokrasi iaitu persaingan (competition) dan perwakilan (representation).

Bagaimanapun, faktor-faktor semasa memberikan pengaruh dan tekanan terhadap politik ketika itu, menghormati hak majoriti sebagai asas peraturan dalam amalan demokrasi wajib dihormati oleh semua pihak tanpa prejudis.

Langkah tepat bagi memastikan sistem politik negara berjalan dengan baik dan lancar.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!