X

Kindly register in order to view this article
!

Ah long tukar taktik

A
A

PEMINJAM wang tidak berlesen atau ah long kini semakin licik apabila berselindung di sebalik logo dan nama syarikat peminjam wang berlesen untuk meneruskan kerja haram mereka.

Taktik itu dilakukan bagi meyakinkan orang ramai kononnya mereka merupakan syarikat peminjam wang berlesen tulen yang beroperasi dengan mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob mengakui ah long kini semakin terdesak kerana kesedaran orang ramai mengenai bahaya terjebak dengan kegiatan tersebut amat tinggi.

“Orang ramai sudah tahu bahaya meminjam dengan ah long, jadi ah long kini bukan pilihan utama untuk mendapatkan pinjaman wang segera termasuk mereka yang terlibat dalam perniagaan,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai taktik terbaharu ah long itu, Zainuddin berkata, iklan tawaran pinjaman ah long itu juga menggunakan nama syarikat terkenal dan berlesen untuk mengaburi orang awam supaya membuat pinjaman.

Antara barangan yang turut dirampas.
Antara barangan yang turut dirampas.

Menurutnya, ah long menggunakan nombor telefon persendirian untuk berurusan. Berbeza dengan syarikat pinjaman wang berlesen yang sah, mereka menggunakan nombor telefon pejabat untuk berurusan.

“Berdasarkan pengalaman kita, ah long mengiklankan khidmat mereka melalui poster dan surat khabar. Ada juga poster yang disiarkan menawarkan khidmat baiki rumah. Tapi apabila dihubungi, mereka kata hanya menyediakan khidmat pinjaman wang. Ini mengelirukan.

“Mereka juga dikesan mengiklankan tawaran secara maya di media sosial seperti Facebook bagi menjerat orang ramai,” katanya.

Di negara ini, pemberi pinjaman wang berlesen dikawal sepenuhnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) manakala tidak berlesen di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Bertindak ganas

Kejadian ah long bertindak ganas sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang seperti yang dijanjikan sering didedahkan di media massa.

Ah long akan memburu si peminjam bukan sahaja di rumah, malah hingga ke tempat kerja.

Mereka turut mengugut ahli keluarga peminjam menerusi panggilan telefon. Malangnya, orang ramai seperti tidak pernah serik.

Menurut Zainuddin, mangsa lazimnya terperangkap dengan ah long akibat terdesak dan memerlukan wang.

Sebahagian senjata yang digunakan oleh ah long untuk mengugut dan mencederakan mangsa.
Sebahagian senjata yang digunakan oleh ah long untuk mengugut dan mencederakan mangsa.

“Bila peminjam terlewat bayar atau tak boleh bayar langsung, mereka akan guna kekerasan dan ugutan jenayah.

“Ini termasuk mengupah individu untuk menyimbah cat di pintu rumah, kereta dan kedai.

“Bahkan, mereka juga akan memalukan mangsa dengan menampal poster tertera muka peminjam di kawasan perumahan tempat mangsa tinggal,” katanya.

Menurutnya, ah long juga mempunyai ‘kaki’ terdiri daripada pekerja yang diupah menampal poster atau iklan pada tiang atau di tempat awam.

“Pekerja ini dibayar upah antara 5 sen hingga 10 sen bagi setiap poster, bergantung kepada kawasan,” katanya sambil menambah, kebanyakan individu yang diupah itu terdiri daripada penagih dadah atau orang yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Berdasarkan rekod polis, ah long mampu memberi pinjaman antara RM100,000 hingga RM300,000.

Setiap peminjam perlu menyerahkan beberapa dokumen seperti kad pengenalan, nombor telefon, serta alamat tempat kerja dan rumah bagi memudahkan peminjam itu dihubungi dan dicari.

Selain itu, ada juga kes di mana ah long akan mendapatkan instrumen kewangan peminjam seperti kad pengeluaran wang automatik (ATM).

“Ah long akan pegang kad itu bagi memastikan bayaran dibuat oleh peminjam.

“Syarat ini perlu dipatuhi peminjam kerana setiap bulan ah long akan ambil daripada wang gaji mangsa sebagai pembayaran.

“Selain itu, orang awam akan berdepan risiko menjadi keldai akaun selepas kad ATM tersebut dapat diakses oleh pihak lain," jelas Zainuddin.

Beliau menasihatkan orang ramai yang pernah menyerahkan kad ATM kepada ah long supaya membatalkan akaun dan kad ATM berkenaan kerana ia mungkin pernah digunakan untuk kegiatan jenayah.

Tegas beliau, kad bank tidak boleh diserahkan kepada orang lain kerana ia hak pemilik persendirian.

Kongsi gelap

Statistik kes ah long yang direkodkan pada tahun 2019 adalah sebanyak 1,223 kes dengan jumlah kerugian bernilai RM18.1 juta.

Dalam tempoh itu, seramai 1,230 suspek telah ditahan dan 322 sudah dituduh di mahkamah.

Bagi tahun 2020 pula, sebanyak 1,083 kes dilaporkan dengan kerugian bernilai RM5.7 juta membabitkan 1,068 tangkapan. Sebanyak 346 suspek telah dituduh di mahkamah.

Bagi tempoh tahun ini setakat 18 Februari lalu pula, sebanyak 136 kes dengan jumlah kerugian RM1.1 juta dilaporkan. Seramai 46 suspek telah dituduh di mahkamah susulan penahanan 65 individu.

Zainuddin
Zainuddin

Mengulas mengenai penurunan kes pada tahun lalu berbanding tahun 2019, Zainuddin menjelaskan, ia disebabkan wujudnya iklan pinjaman tidak wujud (PTW) selain pergerakan masyarakat yang terbatas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, iklan PTW dibuat secara dalam talian dan semua orang boleh membuat pinjaman tanpa perlu bersemuka.

“Dengan membuat pinjaman ah long, orang awam sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada risiko terpaksa membayar semula amaun dalam jumlah yang lebih tinggi.

“Lebih malang ah long juga akan mencadangkan kepada peminjam untuk membuat pinjaman daripada ah long lain,” katanya.

Zainuddin juga tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan kongsi gelap dengan kegiatan ah long.

“Sudah tentu ah long menggunakan elemen kekerasan dan ketakutan. Siapa lagi yang berani buat benda macam ini kalau bukan kalangan gengster,” kata beliau.

Menurutnya, siasatan pihaknya juga mendapati kegiatan ah long bermula daripada individu yang mempunyai wang dan menjalankan perniagaan tanpa lesen untuk dijadikan punca pendapatan tambahan.

“Mereka tidak perlukan peraturan. Kegiatan ini berkemungkinan berfungsi sebagai pelaburan bagi mendapatkan pulangan yang berlipat ganda dalam tempoh yang singkat.

“Ah long bebas mengenakan kadar yang dipersetujui peminjam. Bila tak dikawal, ia akan mendatangkan keuntungan besar,” katanya

Lapor jika ada maklumat polis lindungi ah long

Mangsa ah long terdiri daripada pelbagai golongan termasuk ahli perniagaan yang telah disenarai hitam atau diisytihar muflis oleh pihak bank.

Selain itu, ada juga kalangan peminjam dalam kalangan pesara disebabkan keperluan kewangan yang mengejut.

Malah, pihak polis juga ada menerima laporan mangsa daripada kalangan kakitangan awam termasuk guru selain pelajar serta golongan yang tidak bekerja.

Polis percaya individu tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan membuat pinjaman adalah disebabkan kesukaran mereka memohon pinjaman daripada institusi perbankan.

“Mereka mungkin membuat pinjaman ah long itu untuk memulakan sesuatu perniagaan dan sebagainya,” kata Datuk Zainuddin Yaacob.

Bagi menangani isu ah long ini, orang ramai diminta membuat laporan jika ada dakwaan kegiatan ah long dilindungi oleh polis sendiri.

“Mungkin ada berlaku kes di mana ah long dilindungi pegawai tertentu. Jadi, jika ada maklumat boleh panjangkan kepada kita untuk tindakan lanjut.

“Saya tegaskan bahawa kita (polis) tidak boleh jadi pelindung aktiviti haram itu,” katanya.

Zainuddin turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menularkan di media sosial kes siasatan ah long kerana ia boleh membahayakan individu itu sendiri.

Bom buatan sendiri jenis molotov cocktail digunakan ah long untuk menakutkan mangsa.
Bom buatan sendiri jenis molotov cocktail digunakan ah long untuk menakutkan mangsa.

“Jika bukan dalam bidang kuasa kami, kes itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa lain yang terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 selain Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Saya mengingatkan orang awam agar tidak membuat pinjaman ah long. Kita tahu ah long bukan sahaja mengenakan kadar bayaran faedah tinggi, mereka juga menggunakan kekerasan jika peminjam berdepan masalah membuat pembayaran.

“Orang ramai yang pernah membuat pinjaman ah long hingga diugut bakar rumah, bunuh selain simbah cat diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Poster dan iklan pinjaman tidak berlesen milik ah long yang dirampas polis.
Poster dan iklan pinjaman tidak berlesen milik ah long yang dirampas polis.

Menurutnya, masyarakat perlu memikirkan kesan dan akibat membuat pinjaman ah long.

Katanya, polis akan terus mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dengan pinjaman tidak berlesen selain meningkatkan risikan, operasi, tahap siasatan untuk diheret ke muka pengadilan.

“Kita ada pihak berkuasa yang cekap dan tegas. Jadi saya merayu orang awam agar menyalurkan maklumat kepada kita tentang kegiatan tersebut,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!