X

Kindly register in order to view this article
!

Rugi itu pasti

A
A

SESUNGGUHNYA tidak ada sesiapa pun di atas muka bumi ini yang mahu rugi. Pun begitu, tidak semua yang menyedari hakikat rugi yang sebenar.

Apa yang difahami, jika berniaga mestilah untung, jika berlawan perlulah menang dan jika ada konflik kepentingan, seharusnya mendahului diri sendiri sebelum mengutamakan orang lain.

Justeru, jika untung seluruh pelosok dunia dicanangkan kehebatan dan kegembiraannya. Namun, apabila rugi, sudah tidak berani mendongak ke langit kerana berasa malu dan rendah diri.

Jika begitulah difahami maksud rugi, kita sebenar-benarnya telah rugi.

Secara prinsipnya, maksud rugi adalah amat luas kerana diterjemah dengan mata hati dan bukannya logik akal semata-mata.

Apa yang nyata, kerugian itu adalah berkait rapat dengan keberkatan. Berkaitan hal itu, daripada Anas bin malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” (Hadis Riwayat, al-Tirmizi).

Menurut Imam al-Nawawi, maksud berlalu dengan pantas disebabkan keberkatan masa telah hilang dalam kehidupan kita.

Sebetulnya, keberkatan masa telah lama ‘hilang’ dalam kehidupan seharian kita. Tanpa kita sedari, umur semakin lanjut dan anak-anak semakin membesar. Malah, setiap masa kita akan kehilangan orang-orang yang tersayang dan dekat dengan diri kita.

Apa yang menyedihkan, pada hari-hari terakhir kehidupan, barulah menyesali segala apa yang telah di-lakukan selama ini. Apabila menyesal, segala perbuatan yang rugi selama ini, seolah-olah ditayangkan semula di hadapan kita.

Pada waktu itulah, kita berasa rugi kerana tidak sempat memohon maaf dengan seseorang yang telah pun meninggal dunia.

Ada ketikanya, kita berasa rugi kerana tidak berbakti kepada ibu bapa selama ini. Malah, berasa sayu dan sepi kerana anak-anak menjauhkan diri disebabkan sifat ego dan bengis kepada mereka sewaktu dalam proses membesar.

Akhirnya, segala kerugian tersebut adalah seperti lirik lagu ‘Salam Terakhir' nyanyian Allahyarham Sudirman.

“Andainya aku punya waktu, masih ku ingin mengulangi semula, saat indah bersama mu, sayang tak berkesempatan.” Ya benar, ALLAH SWT menerima segala taubat kita, namun rugi itu adalah pasti.

Pada hemat saya, kita sedar daripada kerugian sudah pun merupakan keuntungan.

Tidak mengapa jika terlambat untuk sedar, apa yang penting kita telah menginsafi segala kerugian yang telah dilakukan selama ini. Ia bermakna, kita harus jalan ke hadapan untuk memperkukuhkan diri dan bukannya menangisi perkara yang lepas.

Tiada jalan lain, untuk mengelak kerugian adalah dengan kembali semula kepada Pencipta.

Sejujurnya, dekatilah ALLAH SWT melalui solat. Bagi mereka yang mengabaikan solat ataupun tidak sempurna melaksanakan solat, maka selagi itulah kita akan berada dalam kerugian.

Adalah jelas, rata-rata yang melanggar undang-undang, perbuatan salah laku, suka berkonflik, tidak menghormati orang lain dan hidup hanya untuk berseronok adalah golongan yang tidak sempurna solatnya.

Pun begitu, nasihat seperti ini hanya dianggap klise kerana telah mendengarnya sejak di bangku sekolah lagi.

Ingatlah, ALLAH SWT telah berfirman: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah Al-Asr,103:1-3).

Yakinlah, hanya mendekati ALLAH SWT dapat mengelakkan kita daripada kerugian.

Oleh itu, supaya tidak rugi, kita harus melakukan perubahan setelah menyedari kita rugi. Jangan tunggu masa senang dan telah bersedia baru hendak berubah. Lakukan sekarang, jika tidak, rugi itu pasti. Mulakan dengan kemaafan.

Jangan tunggu masa senang dan telah bersedia baru hendak berubah.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!