Menteri Kemboja bertemu 47 rakyat Malaysia ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan berjumpa dengan semua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara di Poi Pet, kira-kira 446km dari Phnom Penh ibu negara Kemboja, bagi melihat sendiri masalah mereka.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, dalam pertemuan itu semalam, Othsman telah mendengar keluhan dan kesusahan mereka serta sedia membantu sebarang keperluan sepanjang berada dalam tahanan.

“Menurut Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, hasil lawatan tersebut beliau dimaklumkan mereka semua terpedaya dengan tawaran kerja di hotel-hotel di kawasan pelancongan Siem Reap. Tetapi apabila mereka tiba di sini ejen pekerjaan berkenaan telah mengambil pasport dan telefon bimbit yang menyebabkan kesemua mereka terputus hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya kepada Bernama dari Phnom Penh.

ARTIKEL BERKAITAN: Serah pada kerajaan rundingan pembebasan 47 rakyat Malaysia

Mustapha berkata, Othsman telah bersetuju untuk membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri, Hun Sen dalam masa terdekat, selain berjanji akan cuba menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin.

Selain itu katanya, Othsman turut menyatakan penghargaannya kepada pihak NGO Antarabangsa yang sentiasa berhubung dengannya untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Khamis lepas, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu di Poi Pet, sejak 11 Disember tahun lalu.

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram. - Bernama

Artikel Berkaitan: