Benarkah tiada kemiskinan di China?

China kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. - Foto AFP
China kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - China pernah mendakwa negaranya berjaya menghapuskan kadar kemiskinan yang paling ekstrem pada tahun lalu iaitu sebelum sambutan ulang tahun yang ke-100 Parti Komunis China pada bulan Februari tahun ini.

Presiden China, Xi Jinping dilaporkan meraikan kemenangan pentadbiran negara itu menghapuskan kemiskinan ekstrem di kawasan luar bandar pada satu majlis yang diadakan di Beijing pada Khamis lalu.

Media kerajaan memberikan kredit terhadap kepimpinan Jinping yang memerintah China dari tahun 2013 dan berusia 67 tahun kerana berjaya membantu lebih 100 juta penduduk keluar daripada garis kemiskinan.

Menurut AFP, presiden itu berkata, tidak ada negara lain di dunia yang boleh mengeluarkan ratusan juta rakyatnya keluar daripada kemiskinan dalam tempoh singkat.

Beliau juga menyatakan negara itu telah mencipta satu keajaiban kerana melakukan perkara tersebut dan ia akan dicatatkan dalam sejarah China.

Dalam majlis yang diadakan di Dewan Besar Rakyat di Beijing, beliau turut menyampaikan medal kepada tokoh-tokoh utama yang berjaya menghapuskan kemiskinan ekstrem itu.

Menurut portal berita China Power, pertumbuhan ekonomi yang berlaku selama berdekad-dekad lalu telah menyebabkan kira-kira 748.5 juta penduduknya tidak lagi hidup dalam kemiskinan.

Walaupun parti komunis di China ditubuhkan pada tahun 1921 tetapi ia mula memerintah negara tersebut pada tahun 1949 melalui pemimpinnya, Mao Zedong selepas berjaya mengusir keluar Parti Kuomintang yang dikenali sebagai pendukung fahaman nasionalis ke Taiwan dalam Perang Saudara.

Artikel Berkaitan:

Penduduk China dilaporkan memperoleh pendapatan lebih AS$2.30 (RM9.32) sehari sekali gus dikatakan keluar daripada tahap kemiskinan ekstrem.
Penduduk China dilaporkan memperoleh pendapatan lebih AS$2.30 (RM9.32) sehari sekali gus dikatakan keluar daripada tahap kemiskinan ekstrem.

Pada tahun lalu, China mendakwa berjaya ia berjaya mencapai sasaran dengan berjaya mengeluarkan semua penduduknya daripada garis kemiskinan dengan memperoleh pendapatan lebih AS$2.30 (RM9.32) sehari.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding garis kemiskinan yang ditetapkan oleh Bank Dunia iaitu pada kadar AS$1.90 (RM7.70) sehari.

Menurut AFP pula, China telah berjaya mengeluarkan lebih 800 juta rakyatnya daripada garis kemiskinan ekstrem sejak ia membuka pasaran ekonominya pada tahun 1970an sekali gus merangsang ekonomi negaranya.

Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis China, Deng Xiaoping yang pernah mendapat pendidikan di Perancis merupakan tokoh yang membawa perubahan ke atas China pada tahun 1978 apabila beliau membuka negara itu kepada dunia luar.

Menurut portal berita Xinhua, ketika itu, kadar kemiskininan di luar bandar ialah 97.5 peratus.

Memerangi kemiskinan di negara itu dianggap sebagai satu perjuangan yang perlu dimenangi menyebabkan kerajaan China melaksanakan pelbagai program termasuk di peringkat luar bandar sehingga berjaya menjadikan negara itu sebagai ekonomi kedua terbesar dunia, lapor portal berita China Power.

Pendapatan Negara Kasar (GNI) turut meningkat daripada hanya AS$940 (RM3,807) pada tahun 2000 kepada AS$10,410 (RM42,165) pada tahun 2019.

Dalam memerangi kemiskinan itu, AFP melaporkan, beberapa pegawai kerajaan telah pergi ke setiap rumah bagi menentukan bilangan penduduk yang miskin, mengukur pendapatan, menilai keadaan rumah, menentukan sama ada terdapat anggota keluarga yang tercicir ke sekolah dan adakah mereka mempunyai insurans perubatan.

Kadar kemiskinan di China juga menurun daripada 66.3 peratus pada tahun 1990 kepada hanya 0.3 peratus pada tahun 2018, menurut Pusat Untuk Strategik dan Kajian Antarabangsa.

Bagaimanapun, menurut AFP, statistik yang dikeluarkan oleh Beijing kerap kali disambut dengan skeptikal dan beberapa pakar menyatakan angka-angka itu tidak memberitahu kisah-kisah yang sebenar tentang kemiskinan di China.

Terry Sicular iaitu profesor ekonomi di Univeriti Western Ontario berkata, terdapat ratusan ribu kes rasuah yang mempunyai kaitan dengan kerja-kerja memerangi kemiskinan di negara tersebut.

Ia turut melibatkan beberapa pegawai tempatan yang terpaksa memalsukan data rakan-rakan dan keluarga mereka sebagai miskin sebagai cara untuk menerima dana.

Garis kemiskinan rasmi China pula adalah rendah jika dibandingkan dan purata pendapatan seisi rumah, kata Sicular.

Dalam pada itu, Pengarah Negara Bank Dunia, Martin Raiser berkata, beliau menganggarkan terdapat sekitar 13 peratus penduduk China yang masih hidup di bawah garis kemiskinan, katanya seperti dilaporkan oleh AFP. - Agensi