X

Kindly register in order to view this article
!

ADUN Sebatik keluar parti tidak jejas kekuatan Warisan

Tindakan ADUN Sebatik keluar parti tidak memberi impak kepada sokongan Warisan di peringkat akar umbi.
A
A

KALABAKAN - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik yang keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak akan menjejaskan kekuatan parti itu, terutama dalam Parlimen Kalabakan, kata Ketua Bahagian Warisan Kalabakan, Sarifuddin Hata.

Beliau yang juga ADUN Merotai berkata, tindakan Hassan A Gani Pg Amir itu juga tidak memberi impak kepada sokongan Warisan di peringkat akar umbi.

“Ramai hubungi saya, antaranya ketua cawangan di Sebatik, tindakan beliau tidak beri kesan, cuma semua ahli jawatankuasa parti kecewa atas tindakan mengejut ini, setelah bertungkus lumus mengangkat beliau menjadi wakil rakyat, akhirnya beliau mementingkan diri sendiri,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Hassan yang menang kerusi di DUN Sebatik atas tiket Warisan pada Pilihan Raya Negeri lalu dilaporkan mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Sebatik umum keluar Warisan

ADUN Sebatik keluar parti: GRS tunggu dan lihat

Warisan sahkan ADUN keluar parti

Parlimen Kalabakan memiliki empat kerusi DUN iaitu Kukusan, Merotai, Tanjung Batu dan Sebatik, yang mana pada Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lepas DUN Kukusan, Merotai dan Sebatik dimenangi calon Warisan, manakala DUN Tanjung Batu dimenangani Andi Muhammad Suryady Bandy daripada Perikatan Nasional (PN).

Bagi Ketua Wanita Warisan Bahagian Kalabakan yang juga ADUN Kukusan, Rina Jainal berkata, menjadi wakil rakyat pembangkang memang banyak cabaran dan terdapat banyak pilihan dalam usaha membantu rakyat.

“Banyak lagi pilihan lain untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi bukan dengan pilihan keluar parti,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!