Permit tanah: Kerajaan sudah pertimbang ulasan jabatan

Ahmad Faizal (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan kunci Rumah Perakku PPR Seri Iskandar.
Ahmad Faizal (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan kunci Rumah Perakku PPR Seri Iskandar.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Kerajaan negeri sudah mengambil kira semua ulasan daripada jabatan berkaitan sebelum meluluskan permit sebuah syarikat yang dikaitkan dengan projek ladang hutan di atas tapak seluas 400 hektar di dua kawasan dalam daerah Kinta, Disember lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pertimbangan itu juga dibuat selepas melihat dua pengarah syarikat berkenaan mempunyai pengalaman luas dalam penanaman semula hutan.

Menurutnya, meskipun syarikat itu baru ditubuhkan, ia mempunyai kaitan dengan syarikat lain yang lebih besar dan akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTAB) bagi mengusahakan ladang hutan di kawasan dikategorikan sebagai hutan sekunder.

"Apabila mempunyai kawasan pokok yang tidak memberi hasil kepada negeri, maka kita perlu membuat penanaman semula supaya hasil lebih banyak diberikan. Perkara ini juga dilakukan pentadbiran terdahulu.

"Dalam hal ini, keputusan dibuat berdasarkan ulasan jabatan, saya sendiri tidak mengenali kedua-dua pengarah syarikat, namun melihat latar belakang, mereka boleh membuat kerjasama yang baik dengan Jabatan Perhutanan.

"Paling penting, projek ini boleh memberi hasil yang besar kepada negeri dalam tempoh akan datang, maka sebab itulah kita bersetuju meluluskan projek ladang hutan di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak yang mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri dalam pemberian permit projek di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta kepada sebuah syarikat yang baru ditubuhkan Julai tahun lalu.

Ahmad Faizal berkata, tempoh penubuhan sesuatu syarikat bukan intipati penting yang menjadi penilaian, sebaliknya keupayaan syarikat itu mengendalikan operasinya.

Artikel Berkaitan:

"Jika syarikat itu dah lama, tetapi ditadbir orang baru, tak boleh juga. Samalah kesnya kalau syarikat itu baru tetapi yang menjalankannya orang yang berpengalaman luas, jadi sewaktu kita bermesyuarat, kita tak tengok dari segi bila ditubuhkan atau sebagainya," katanya.

Menurutnya, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak, setiap nama-nama syarikat yang dibawa masuk sama ada bagi permohonan projek tebang atau mengeluarkan kayu sudah melalui saringan Jabatan Perhutanan.

"Ini prosedur biasa, bermakna syarikat-syarikat ini sudah melepasi syarat kelayakan untuk membolehkan kerajaan membuat pertimbangan untuk dapatkan konsensi balak," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal ditemui pada majlis penyerahan kunci Rumah Perakku Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Iskandar.

Sebanyak 99 unit rumah berjaya disiapkan, April tahun lalu dengan tawaran harga RM35,000 berbanding kos pembangunan sebenar RM158,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Giliran UMNO persoal kelulusan permit tanah 400 hektar

ARTIKEL BERKAITAN: Permit tanah: Kerajaan Perak alu-alukan siasatan SPRM