X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB di seluruh Sarawak dilanjut hingga 15 Mac

PKPB di seluruh Sarawak akan dilanjutkan dua minggu sehingga 15 Mac depan. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 15 Mac depan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan itu diambil berdasarkan penilaian risiko dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan trend peningkatan kes di seluruh negeri berkenaan dengan sebanyak 2,623 kes direkodkan dalam tempoh 14 hari bermula 12 hingga 25 Februari lepas.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di seluruh Sarawak bermula 2 Mac sehingga 15 Mac,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) dan kuarters kakitangannya di Batu Gajah, Perak bermula 28 Februari sehingga 13 Mac ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk melaksana PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong di Nabawan, Sabah bermula 27 Februari hingga 12 Mac depan berikutan trend peningkatan kes di kawasan berkenaan.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 42 kes positif Covid-19 direkodkan yang melibatkan kedua-dua lokaliti ini,” katanya.

Selain itu, PKPD turut dilaksana di Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu, Sarawak bermula 27 Februari sehingga 12 Mac.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 59 kes direkodkan melibatkan lokaliti ini dan KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,500 penduduk serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Mengenai kesalahan ingkar prosedur operasi standard PKP pada Khamis, Ismail Sabri berkata, seramai 320 individu dikompaun manakala enam individu direman.

Beliau berkata gagal menyediakan peralatan serta merekod diri dan pelanggan mencatat kesalahan tertinggi melibatkan 106 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (77) dan tiada penjarakan fizikal (43). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!