1MDB: AMMB setuju penyelesaian RM2.83 bilion dengan kerajaan

Kenyataan media oleh Tengku Zafrul pada Jumaat.
Kenyataan media oleh Tengku Zafrul pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan mengumumkan AMMB Holdings Berhad telah bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan penglibatan Kumpulan AmBank dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, penyelesaian global terbaharu itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam melakukan tuntutan kembali terhadap semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

“Pada Julai 2020, kerajaan berjaya dalam rundingannya dengan Goldman Sachs untuk mencapai satu penyelesaian bernilai RM15.8 bilion atau AS$3.9 bilion.

“Walau bagaimanapun, kesemua penyelesaian ini tidak akan membebaskan entiti dan individu lain dari salah laku mereka di dalam kes 1MDB dan mereka akan tetap melalui proses sistem keadilan mahkamah.

“Penyelesaian global oleh AMMB Holdings Berhad adalah berkait dengan pematuhan undang-undang sekuriti dan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, sebahagian daripada terma penyelesaian global ini termasuk syarat oleh SC agar AmInvestment Bank Berhad mengambil langkah-langkah pembetulan dan penambahbaikan sistem serta proses memperkuatkan kerangka kerja tadbir urus mereka di dalam penilaian sukuk terbitan korporat.

“Penyelesaian terbaharu ini bermanfaat bagi rakyat Malaysia. Penyelesaian perkara ini melalui sistem mahkamah akan melibatkan masa dan sumber kewangan yang banyak.

“Dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah tersebut akan dipercepatkan dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa. Jumlah ini juga dapat digunakan untuk melangsaikan kewajiban tertunggak 1MDB,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, jumlah penyelesaian tersebut adalah tambahan kepada denda RM53.7 juta yang telah dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan telah dibayar oleh Kumpulan AmBank.

Jelas beliau, Kumpulan AmBank telah pun mengambil langkah-langkah menyeluruh untuk memperbetulkan kekurangan yang berkaitan dengan urus niaga terbabit.

“Ini termasuk langkah-langkah di bawah program pemulihan yang disyaratkan oleh BNM untuk dilaksanakan oleh Kumpulan AmBank yang kini diterajui oleh lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan yang baharu.

“Dengan langkah-langkah ini, Kumpulan AmBank berada di dalam keadaan lebih baik untuk terus melindungi kepentingan pendeposit serta pemegang saham dan bagi memastikan pertumbuhannya di masa hadapan," jelas beliau.

Beliau juga berkata, penyelesaian global ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Low Taek Jho atau Jho Low, Jasmine Loo dan pihak lain yang berkaitan dengan kes ini dan yang masih giat dicari berkaitan skandal 1MDB.

Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, SC, BNM, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas segala usaha mereka dalam mencapai penyelesaian tersebut.