Kilang kitar semula tiada laporan EIA disita

Kilang kitar semula barang-barang plastik terpakai di Simpang Renggam, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, Kluang.
Kilang kitar semula barang-barang plastik terpakai di Simpang Renggam, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Sebuah kilang kitar semula barang-barang plastik terpakai di Simpang Renggam, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam di sini disita pada Jumaat kerana beroperasi tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Tindakan itu diambil dalam satu tinjauan melibatkan wakil Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Pejabat Tanah Daerah Kluang, Pejabat Daerah Kluang dan polis.

Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Mohd Hafiz Abdul Shukur berkata, pihak MBSR memberi arahan kepada pemilik kilang itu untuk mengemukakan laporan EIA yang diluluskan pihak JAS dalam masa 30 hari.

"Notis arahan penggantungan sementara bagi tempoh 30 hari atau sehingga tempoh yang akan dipertimbangkan setelah laporan EIA daripada JAS diluluskan," katanya kepada pemberita selepas tinjauan tersebut pada Jumaat.

Kakitangan JAS menyita kilang kitar semula barang-barang plastik terpakai di Simpang Renggam, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, Kluang pada Jumaat.
Kakitangan JAS menyita kilang kitar semula barang-barang plastik terpakai di Simpang Renggam, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, Kluang pada Jumaat.

Beliau berkata, ketika diperiksa, kilang terbabit hanya mempunyai lesen sementara berkaitan aktiviti kitar semula yang dijalankan.

Menurutnya, tinjauan dilakukan selepas mendapat aduan penduduk setempat berkenaan aktiviti kilang yang mengganggu mereka.

"Kilang ini didapati mengeluarkan bunyi bising sepanjang waktu operasi bermula awal petang hingga awal pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kilang tersebut yang beroperasi sejak kira-kira tiga tahun lalu turut mengeluarkan bau tidak menyenangkan.

"Pihak MDSR masih menjalankan siasatan terperinci terhadap kilang berkenaan sebelum satu tindakan susulan dilakukan," katanya.